KUALA LUMPUR: Muzium Kesenian Islam Malaysia (MKIM) di sini menganjurkan Pameran ‘Lukisan Orientalis: Cerminan atau Bayangan?’ selama hampir lima bulan sehingga 15 Oktober ini.
Pameran itu melakar sejarah tersendiri di Asia apabila menampilkan pameran seni definitif dari era Orientalism.
Antara koleksi yang ditampilkan terdiri dari abad ke-19 dan awal abad ke-20 sekali gus belum pernah dipamerkan di luar Eropah mahupun Amerika.
Majlis perasmian pameran itu disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selain dihadiri tokoh-tokoh perniagaan dan kesenian di dewan terbuka MKIM petang ini.
Yang hadir sama Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil; Pengerusi Yayasan Albukhary, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary dan Pengarah Muzium Kesenian Islam Malaysia, Syed Mohamad Albukhary.
Terdahulu, Anwar menyifatkan pameran tersebut unik kerana tidak dipamerkan di mana-mana dunia melainkan dengan skala kecil seperti di muzium di London.
“(Di sini) skala besar, ini yang terbesar pernah diadakan di dunia. Jadi sewajarnya masyarakat menggunakan peluang ini kerana kalau di tempat lain kosnya terlalu tinggi.
“Muzium Kesenian Islam Malaysia ini walaupun ada di Timur Tengah atau London, New York, tetapi rantau ini… ini muzium yang terkemuka menjadi pusat pendidikan, pendedahan tentang seni Islam yang dipamerkan begitu lama,” katanya hari ini.
Pada masa sama, Ahli Parlimen Tambun itu turut menyeru orang ramai termasuk warga pendidik, ibu bapa, pelajar serta mahasiswa memanfaatkan waktu dan menggunakan peluang mengunjungi pameran berkenaan.
Mengulas lanjut, Anwar juga menyeru syarikat konglomerat memanfaatkan keuntungan bagi menyokong industri seni dan sastera dalam negara.
“Seperti mana saya gesa dulu, ada usaha dalam pelbagai bidang seperti pendidikan, seni, teater.
“Ada usaha untuk mendukung, kalau kita ada 30 konglomerat, dia beri sokongan dalam pelbagai bidang, itu akan memperkayakan seni, sastera, budaya, pendidikan masyarakat,” katanya. – UTUSAN