RAUB: Musang King Malaysia termasuk dari daerah ini sudah mempunyai ‘level’ tersendiri di China sekali gus tidak akan terjejas eksportnya walaupun negara Tembok Besar tersebut sudah menanam 2,000 hektar durian di Pulau Hainan dan dijangka 2,450 tan metrik buah akan dituai bermula bulan ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Persatuan Pengusaha Tanaman Industri Daerah Raub, Nicky Koh Kuan Heng berkata, dari segi kualiti, Musang King Malaysia berada pada tahap terbaik dan tiada tandingan berbanding negara lain yang turut mengeksport ke China.
“Untuk kualiti durian terbaik, ia memerlukan pokok yang usianya cukup tua dan besar baharu isinya sedap. Di China, pokok di negara terbabit baru enam ke tujuh tahun berbanding Malaysia 15 ke 20 tahun.
“Musang King Malaysia sudah ada nama dan dikenali di China serta diiktiraf kualitinya. Rakyat di sana sudah dapat membezakan antara Musang King Malaysia dan negara luar seperti Thailand dan Vietnam,” katanya.
Baru-baru ini ketika bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pengarah Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Datuk Dr. Mohamad Zabawi Abdul Ghani berkata, pihaknya percaya Malaysia masih berpotensi mengeksport durian berdasarkan peningkatan permintaan peminat durian dari China.
Kuan Heng berkata, permintaan durian Musang King Malaysia di China ketika ini hanya dua peratus berbanding jumlah keseluruhan rakyatnya.
“Jumlah itu rendah jika dibandingkan dengan keseluruhan rakyat China, ia memang tidak mencukupi, jadi saya fikir pekebun durian Musang King Malaysia tidak perlu bimbang eksport ke China akan terjejas,” katanya. – UTUSAN