KETIKA rakan sebaya bebas menikmati kehidupan tanpa ada lensa yang memerhatikan, sebaliknya, penyanyi berusia 23 tahun ini terpaksa hidup penuh berhati-hati.
Kehidupannya sering terpalit kontroversi, gerak-gerinya menjadi perhatian sehingga ada yang melabelkannya gemar bersosial dan paling teruk, seorang kaki perempuan.
Bagi Ismail Izzani, dia akur dengan asam garam terjun ke dalam industri hiburan. Namun begitu, tidak pernah sedikit pun terbit erti penyesalan dalam hidupnya yang memilih untuk melangkah ke dalam dunia penuh glamor dan gosip.
Kata penyanyi yang meledak popular menerusi lagu Sabar pada 2017, dia enggan peduli dengan sebarang label mahupun tanggapan sekeliling terhadapnya.
“Nasib baik kaki perempuan, kalau kaki lelaki? (sambil tertawa) Bukankah lagi bahaya?
“Saya juga ada kehidupan peribadi dan sejak tiga tahun belakangan ini saya cuba belajar menyusun keutamaan dalam hidup seperti membahagikan masa kerja, keluarga dan berdepan kontroversi.
“Saya juga manusia biasa tak lepas melakukan kesalahan. Ini bukan bermaksud saya gembira dengan apa yang saya lakukan dan saya tak cakap saya menyesal berada dalam bidang ini,” katanya kepada Pancaindera.
Ismail yang meniti popular selepas bergelar hero dalam drama Bukan Hanya Sekadar Cinta berkata, segala kontroversi yang timbul sebenarnya mematangkan dirinya untuk menjadi seorang manusia lebih baik.
Jelasnya, setiap masalah yang datang pasti mempunyai hikmah tersendiri. Sebagai anak lelaki dia juga perlu berani bertanggungjawab dengan segala perbuatannya.
“Kontroversi adalah proses pembelajaran. Bagi saya, ada masalah dalam industri ini normal. Kalau tiada apa-apa yang berlaku dalam hidup bosan juga.
“Ini adalah cabaran yang saya perlu hadapi sekarang. Jaga reputasi diri, fikirkan soal keluarga dan masa depan.
“Saya percaya sentiasa ada hikmah yang berlaku di sebaliknya. Pokok pangkal bagaimana saya berdepan dan bukan lari daripada masalah,” ujarnya.
PENYANYI WANITA, INI PERTAMA KALI
Sejak aktif menyanyi ketika berusia 17 tahun, pemilik nama lengkap Ismail Izzani Zainal Nazeri ini belum pernah berkolaborasi dengan mana-mana penyanyi wanita.
Hasrat itu mula tercapai selepas buat julung kalinya dia berduet bersama penyanyi baharu, Mia Lateefa, 21, menerusi single Kau Tahu.
Kongsinya, proses rakaman berjalan lancar dan mudah disebabkan wujud keserasian antara mereka berdua yang saling mengenali sejak zaman persekolahan.
“Sebenarnya, semasa sesi rakaman kami tak boleh duduk sekali sebab nanti kerja tak jalan. Saya perlu rekod hari lain dan Mia juga datang hari lain. Sebab kalau duduk berdua kecoh jadinya.
“Saya sudah kenal Mia sejak 2015 dan anggap dia seperti adik sendiri. Dia pun tahu menari dan mempunyai bakat semula jadi, jadi ia adalah pengalaman yang bagus dapat berduet bersama menerusi lagu ini,” katanya.
Pada mulanya, Ismail berkata, Mia menghubunginya dan menyatakan hasrat untuk berkolaborasi dalam sebuah single.
Tanpa berfikir panjang, katanya, dia terus bersetuju kerana ia adalah idea bernas dan tidak rumit untuk bekerjasama dengannya.
“Mia adalah seorang yang rajin berusaha dan akan memperuntukkan masa mempelajari sesuatu, contohnya seperti tarian dan kelas vokal,” katanya.
Single berentak R&B itu merupakan hasil ciptaan mereka berdua dengan komposer ternama seperti Mingaling, Ezra Kairo dan Amir Hasan.
TAK PERNAH ‘LARI’ BANYAK KALI
Dikatakan pernah mengelak daripada bertemu media tahun lalu ketika kontroversi aksi sumbang seorang lelaki mirip wajahnya di sebuah kelab malam, Ismail mempunyai alasan tersendiri.
Jelasnya, tindakan berdiam diri ketika itu bukan bermaksud dia tewas dengan situasi, tetapi dia mempunyai sebab musabab tersendiri.
“Saya lari (dari media) sekali sahaja. Tak pernah lari banyak kali. Kalau banyak kali lari sudah tentu tiada sesi temu bual ini (bersama Pancaindera).
“Kadang-kadang, penjelasan tidak membawa apa-apa kebaikan sebab orang ramai tidak mahu mendengar pejelasan saya. Buat apa saya hendak buang masa dan memaksa orang lain untuk faham diri saya?” soalnya.
Terkini, kontroversi yang datang menghinggap dirinya bukan calang-calang apabila ada individu yang menuduh konon dirinya menghamilkan seorang wanita.
Anak kepada penyanyi popular era 90-an, Datin Suliza Salam ini mengakui, spekulasi itu sedikit sebanyak mengganggu kehidupan peribadinya dan tindakan tegas sudah diambil oleh syarikat pengurusannya.
“Syarikat pengurusan akan mengambil tindakan undang-undang kepada individu terlibat supaya tidak berulang lagi fitnah itu.
“Saya tak emosi, sedih mahupun rasa tertekan bila baca komen-komen dalam media sosial.
“Saya hanya fikir positif sebab ramai lagi yang sayangkan diri ini. Kalau asyik fikir orang lain benci kita sahaja tidak guna.
“Sebagai penyanyi dan penghibur, saya hanya perlu senyum dan mempamerkan kegembiraan. Tidak perlu saya tunjuk sisi kesedihan,” katanya.