MPC pasang solar untuk penjimatan, tingkat kecekapan operasi - Utusan Malaysia

MPC pasang solar untuk penjimatan, tingkat kecekapan operasi

GUNTOR Tobeng (dua dari kanan) menunjukkan lokasi pemasangan panel solar kepada beberapa pegawai kanan MPC di kompleks MPC Wilayah Utara, Kepala Batas, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

KEPALA BATAS: Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) mengorak selangkah ke hadapan apabila menjadi agensi kerajaan terbaharu yang terlibat dengan pemasangan panel solar selepas ia dilaksanakan di dua majlis daerah dan sebuah kementerian sebelum ini.

Pemasangan itu dilakukan di pejabat MPC Wilayah Utara di sini susulan pemeteraian dua perjanjian bersama Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan syarikat pengendali ladang solar terkemuka negara, Gading Kencana Sdn. Bhd. untuk menyertai Skim Sistem Permeteran Tenaga Bersih (NEM) 3.0.

Perjanjian dengan tawaran kuota sebanyak 500 megawatt (MW) untuk tempoh tiga tahun bermula 2021 di bawah NEM GoMEN yang memfokuskan kementerian serta entiti di bawahnya itu turut melibatkan pemasangan panel solar di satu lagi lokasi iaitu pejabat MPC Wilayah Selatan.

Ia dijangka bermula bulan depan dengan nilai pelaburan keseluruhan sebanyak RM1.6 juta.

Selain berfungsi sebagai langkah penjimatan, pemasangan panel solar itu juga dianggap sebagai sebahagian daripada transformasi MPC dalam usaha untuk meningkatkan kecekapan operasi mereka.

Pengarah Bahagian Khidmat Pengurusan dan Kewangan MPC, Mohd. Yazid Abdul Majid berkata, melalui pemasangan panel solar itu, MPC berpeluang menikmati penjimatan bil elektrik sehingga melebihi RM2,000 sebulan.

“Proses pemasangan (panel solar) dijangka hanya mengambil masa selama satu minggu sahaja dan minggu depan, ia sudah boleh di’energize’ (dijana) dan dijual semula kepada TNB,” katanya.

Beliau ditemui pemberita pada majlis Penyempurnaan Pemasangan Panel Solar di Kompleks MPC Wilayah Utara di sini yang turut dihadiri oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Industri), Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Hanafi Sakri dan Pengarah Urusan Gading Kencana, Datuk Ir. Guntor Tobeng.

Difahamkan, sebanyak 264 keping panel solar berkuasa 570 watt (w) akan dipasang di beberapa blok di seluruh kompleks berkenaan dengan kira-kira 219,683 kilowatt sejam (kWh) tenaga solar mampu dijana untuk tempoh setahun.

Pemasangan panel solar untuk pejabat kerajaan pertama di utara Semenanjung itu juga bakal menyaksikan sebanyak 2,724 jejak karbon dioksida (tCo2) dapat dikurangkan sekali gus menjadikan kompleks MPC Wilayah Utara itu sebagai bangunan rendah karbon.

Sementara itu, Guntor memberitahu, kos pemasangan panel solar tersebut ditanggung oleh pelabur dan MPC hanya perlu menyediakan tapak.

“Dalam hal ini, pelaburan akan dibuat oleh pelabur swasta dan kita (Gading Kencana) akan menjual tenaga solar kepada MPC pada harga yang lebih rendah daripada tarif elektrik semasa,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya