MP sokong RUU Kawalan Merokok

Ahli Parlimen sokong RUU Kawalan Merokok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen tanpa mengira daripada kerajaan atau pembangkang memberi pandangan positif berhubung Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 demi manfaat kesihatan awam 

Sebagai reaksi kepada Menteri Kesihatan yang menyeru supaya tidak berlaku undian berbelah bahagi, mereka berkata, perkara itu berkemungkinan tidak akan berlaku kerana ia adalah demi kepentingan awam yang harus disokong semua pihak.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Hassan Abdul Karim (PKR-Pasir Gudang) berkata, biarpun tidak mendapat sokongan daripada orang ramai mengenai perkara tersebut namun beliau tetap akan menyokong perkara yang memberi kesan positif kepada masyarakat seluruhnya.

“Saya akan sokong usaha kerajaan kerana ia penting untuk generasi muda mengamalkan gaya hidup sihat, malah negara pun terpaksa berbelanja banyak untuk rawatan bila mereka mulai sakit. Ada yang kata ini hak kebebasan dan individu, tetapi sebagai peguam kita juga mengkaji hak untuk memudaratkan diri bukanlah hak asasi.

“Saya sebagai ahli politik memikirkan untuk generasi akan datang, bukan pilihan raya akan datang yang jadi keutamaan saya,” katanya ketika ditemui di Parlimen, semalam.

Senada dengan Hasssan ialah Nik Mohamad Zawawi Salleh (Pas-Pasir Puteh) yang berkata, beliau tidak merasakan ramai ahli Parlimen akan menolak RUU berkenaan, malah dari sudut agama juga turut menegaskan apa sahaja perkara yang memudaratkan diri tidak perlu disokong malah ia juga jatuh hukum haram.

Jadi, katanya, penekanan tiga saspek iaitu perundangan, kesedaran dan yang paling penting adalah agama harus dititikberatkan. 

“Penerapan nilai agama ini sangat penting supaya masyarakat tinggalkan tabiat merokok dan juga vape.

“Sebab itu saya rasakan undi belah bahagi itu tidak akan berlaku kerana hanya dua, tiga ahli Parlimen sahaja yang merokok, yang lain saya yakin akan memberikan sokongan padu,” ujarnya lagi.

Mohd. Hasnizan Harun (Pas-Hulu Selangor) turut berkata, beliau akan mendengar perbahasan terlebih dahulu sebelum membuat keputusan sewajarnya sama ada ingin menyokong atau sebaliknya.

“Tetapi, kena tunggu perbahasan rang undang-undang ini dahulu sebab ia belum dibahas lagi. Tetapi, dari konsepnya, saya faham antara tembakau dengan vape ini, lebih berisiko ialah tembakau. Jadi, saya bersetuju perlu ada kawalan. Kena dengar keputusan pimpinan pembangkang yang akan diputuskan bersama,” katanya.

Kelmarin, Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa berkata, RUU itu akan dirujuk sekali lagi kepada Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Kesihatan.

Ini kali kedua RUU yang turut dikenal sebagai RUU Generasi Penamat (GEG) itu dirujuk kepada JKPK berkenaan selepas pertama kali dibentangkan oleh Menteri Kesihatan ketika itu, Khairy Jamaluddin, pada tahun lalu.

Beliau dalam masa yang sama turut berkata, sokongan tidak berbelah bahagi diperlukan daripada ke semua ahli Parlimen dan JKPK akan bertindak sebagai semak dan imbang di samping mengambil kira pandangan daripada semua pihak yang berkepentingan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya