BUTTERWORTH: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan mengeluarkan kenyataan berhubung tragedi kematian dan kehilangan peserta Malaysia Everest 2023 (ME2023) selepas semua perkara berkaitan operasi berkenaan selesai.
Menterinya, Hannah Yeoh berkata, pihaknya masih belum bersedia untuk mengulas berhubung isu terbabit susulan operasi masih berlangsung di Nepal.
“Itu saya tak nak komen kerana operasi masih berlangsung dan Wisma Putra juga sedang membantu.
“Oleh itu, tunggu semua operasi selesai dan apabila kita sudah bersedia, baru kita akan keluarkan kenyataan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada KBS sudah menjalankan siasatan berhubung isu kematian dan kehilangan pendaki ME2023.
Terdahulu, beliau merasmikan Program Malaysia Aktif di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Bagan Jaya, di sini hari ini.
Bulan lalu, media melaporkan pendaki Everest dan penjelajah Grand Slam negara, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin menggesa KBS serta penganjur melakukan siasatan menyeluruh terhadap insiden kematian dan kehilangan pendaki negara di gunung itu.
Katanya, ini kerana ia insiden kematian pertama sejak misi pendakian Everest Malaysia 1997 sehingga 2023.
Pada 18 Mei lalu, salah seorang peserta ME2023 yang juga Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Leftenan Kolonel Awang Iskandar Ampuan Yaacub, 56, meninggal dunia selepas berhadapan masalah kesihatan.
Sehari selepas itu, pendaki golongan orang kurang upaya (OKU) pendengaran, Muhammad Hawari Hashim, 33, pula dilaporkan hilang selepas berjaya menakluk puncak Everest. – UTUSAN