CYBERJAYA: Syarikat pengurusan harta pusaka, Mawarith Integrated Sdn Bhd (MiiM) memperkenalkan platform digital dikenali sebagai i-Sayang bertujuan memudahkan orang ramai untuk melakukan proses pewarisan secara mudah dan sah.
Pengarah Komersial MiiM, Abdul Hadi Pilus berkata, platform berkenaan menyediakan solusi komprehensif bagi pengurusan harta pusaka dan wasiat dengan pelbagai manfaat ditawar pada harga yang sangat berpatutan.
Menurutnya, i-Sayang turut menawarkan perkhidmatan digital pentadbiran hibah aset secara telus, profesional dan menetapi tuntutan syarak untuk kebaikan pemohon, benefisiari serta ahli waris.
“Nak lantik peguam (sekarang ini) memerlukan kos yang tinggi, tetapi dengan pakej yang kita tawarkan masyarakat boleh dapat khidmat serendah RM20. Kita akan bantu dari sudut penyediaan dokumen dan pentadbiran pusaka melalui pakej tersebut.
“Sasaran kita adalah kelompok B40 dan M40 kerana golongan ini pun ada harta mereka, kalau kita tengok paling kurang pun ada motosikal jadi itu menjadi aset untuk diuruskan selagi mana aset itu berdaftar, itu dari sudut sivil.
“Dari sudut syariah, takkan tiada pendapatan langsung? Misalnya KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) atau simpanan itu semua terkandung dalam pentadbiran pusaka,” katanya menerusi sidang media selepas pelancaran produk pengurusan pusaka, i-Sayang di sini semalam.
Mengulas lanjut, Abdul Hadi berkata, perancangan awal wasiat atau hibah penting untuk mengelak sebarang permasalahan berkaitan pembahagian harta pusaka apabila seseorang itu meninggal dunia.
Katanya lagi, kesedaran dalam kalangan masyarakat juga amat ditekankan untuk mengelak berlakunya harta beku, pergaduhan dan perebutan harta.
“Pendekatan kita adalah dengan menggunakan kaedah langganan. Selepas melanggan sistem ini, mereka akan menerima pelbagai manfaat dalam hal pengurusan wasiat, harta sepencarian dan bermacam-macam lagi.
“Pelanggan juga layak menerima manfaat pengurusan pusaka seperti takaful kerana kami ada tabungan daripada langganan untuk kos pengurusan kematian.
“Selain itu, mereka boleh mendapatkan dokumentasi pewarisan secara percuma di laman web kami www.miim.my untuk memudahkan urusan dengan institusi berkaitan seperti Pejabat Pusaka Kecil, mahkamah sivil atau mahkamah syariah, jika perlu,” ujarnya.
Tambah Abdul Hadi, platform i-Sayang mensasarkan seramai 10,000 pelanggan pada tahun ini selain terus mempergiatkan usaha untuk memperluaskan kempen perkhidmatan dengan melantik kira-kira 5,000 ejen berdaftar. – UTUSAN