PUTRAJAYA: Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) memohon Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mewujudkan sebuah jawatan kuasa berpusat bagi memantau isu tanah adat di Sabah.
Setiausaha Agungnya, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, jawatan kuasa itu penting atas dasar kemanusiaan dan persaudaraan Malaysia Madani kepada Sabah.
Beliau berkata, pihaknya juga memohon Perdana Menteri memberi perhatian berhubung isu penindasan yang berlaku ke atas penduduk kampung tanah adat tersebut.
“Ketika ini penjelasan yang diterima oleh penduduk-penduduk kampung tersebut adalah tidak munasabah dan tidak menjawab persoalan yang membelenggu mereka. Kami turut bersimpati dengan kejadian yang menimpa penduduk kampung ini dan sentiasa komited dalam membantu mencari penyelesaian yang bermanfaat dalam perkara ini.
“Kami juga berharap Ketua Menteri Sabah, Jabatan Tanah dan Ukur serta Perdana Menteri dapat memberi kerjasama baik dan memberikan pertimbangan serta budi bicara dalam mencari penyelesaian segera bagi menyelesaikan kemelut itu,” katanya ketika ditemui selepas menyerahkan memorandum kepada Pejabat Perdana Menteri, di sini hari ini.
Katanya, pihaknya difahamkan ada pihak, individu atau syarikat cuba mengambil kesempatan terhadap kesusahan, kesulitan serta kedaifan yang dihadapi oleh penduduk asal kampung tersebut.
Hishamuddin berkata, pihaknya turut mengemukakan cadangan bagi mengatasi isu itu termasuk memberi geran tanah individu kepada penduduk asal bagi menggantikan geran komunal yang diguna pakai di bawah Artikel 76 Ordinan Tanah Sabah.
Selain itu, katanya, pihaknya mencadangkan kepada kerajaan negeri supaya menubuhkan sebuah jawatan kuasa bagi mengawal selia pengurusan usahasama antara penduduk asal kampung dan syarikat.
“Kami juga mahu sistem pemberian tanah melalui sistem geran tanah individu atau geran tanah komunal dinaik taraf supaya lebih telus,” katanya.
Sejak awal tahun ini, MHO mendedahkan salah laku dan permasalahan oleh penduduk kampung berhubung tanah adat di Sabah terutama di daerah Tongod, Kunak, Kundasang, Nabawan dan Keningau. – UTUSAN