Menyamar kontraktor curi kabel

Menyamar kontraktor curi kabel

FISOL Salleh (tengah) menunjukkan peralatan yang digunakan oleh sindiket mencuri kabel pada sidang akhbar di IPK Kedah, Alor Setar. - UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Polis membongkar kegiatan mencuri kabel dilakukan tiga kumpulan ‘bertaraf profesional’ yang menggunakan modus operandi menyamar seolah-olah kontraktor sebenar, bagi mengaburi mata orang ramai terhadap tindakan mereka melarikan bahan berharga itu.

Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, antara taktik digunakan termasuk mengenakan jaket keselamatan yang sering digunakan kontraktor bagi menampakkan mereka sedang menjalankan penyelenggaraan di lubang-lubang utama (main hole) yang mengandungi kabel bawah tanah.

Malah katanya, anggota sindiket itu ada kalanya tidak segan-silu untuk mengawal lalu lintas ketika mereka melakukan kegiatan haram tersebut selain terdapat juga antara kumpulan tersebut menyewa lori pengangkut untuk membawa kabel dicuri terus kepada pembeli.

“Tiga kumpulan yang ditumpaskan dikenali sebagai Geng Aji Lebai di Alor Setar, Geng Zali Black di Kubang Pasu dan Geng Ogy di Baling. Mereka tidak mempunyai kaitan antara satu sama lain, tetapi dipercayai menggunakan modus operandi hampir sama. Mereka ini memang memiliki kepakaran namun menggunakannya untuk tujuan salah.

“Terdapat 15 individu dipercayai ahli ketiga-tiga kumpulan itu direman ketika ini dan kami sedang memburu enam lagi suspek yang masih bebas. Kesemua mereka yang ditahan berusia antara 30 hingga 54 tahun dan salah seorang merupakan warganegara China,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di sini, hari ini. 

Fisol berkata, hampir kesemua suspek ditahan positif dadah jenis Methamphetamine dan memiliki pelbagai rekod jenayah lampau.

“Dengan tertumpasnya mereka, polis berjaya menyelesaikan sebanyak lapan kes kecurian kabel di Kedah melibatkan kerugian kira-kira RM150,000 kepada Telekom Malaysia Bhd (TM) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB),” katanya.

Sementara itu, Fisol memaklumkan, seorang anggota polis patah kaki kerana dilanggar sebuah kereta dinaiki kumpulan Geng Aji Lebai di kawasan berhampiran Stadium Peremba, di sini dalam operasi Jumaat lalu.

“Anggota polis berkenaan terpaksa melepaskan tembakan bagi mempertahan diri dan peluru tersebut mengenai salah seorang ahli kumpulan berkenaan. Suspek kini sudah keluar wad dan direman bagi membantu siasatan sebelum tindakan lanjut diambil terhadapnya,” katanya.  

Mengulas lanjut, beliau berkata, siasatan pihak polis mendapati kumpulan pencuri kabel terbabit sering kali menyasarkan kabel-kabel yang tidak lagi digunakan termasuk di bawah tanah.

“Soalnya, bagaimana mereka mendapat maklumat menyatakan kabel-kabel tersebut sudah tidak digunakan? Belum sempat syarikat-syarikat terlibat membuat penyelenggaraan, sindiket ini sudah melaksanakan ‘kerja’ untuk mencuri kabel tersebut terlebih dahulu.

“Sebab itu Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) sudah berbincang dengan syarikat-syarikat terlibat agar kalau benar ada kerja penyelenggaraan di lokasi tertentu, mereka diminta maklumkan untuk memudahkan polis melakukan pemeriksaan di lokasi-lokasi lain yang mencurigakan,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya