PETALING JAYA: Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing menafikan dirinya menyalahgunakan kuasa sebagai seorang menteri sehingga menimbulkan insiden Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), baru-baru ini.
King Sing berkata, beliau tidak mempunyai kuasa untuk melepaskan pelancong asing yang ditahan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) dan sekiranya dirinya bertindak demikian sekalipun hanya akan merosakan reputasi sahaja.
Menurut beliau, pelancong berkenaan ditahan tanpa diberikan alasan oleh pihak imigresen sedangkan wanita tersebut mempunyai dokumentasi lengkap.
Katanya, isu timbul disebabkan masalah komunikasi antara pegawai imigresen dan pelancong tersebut, di mana ia menggagalkan pihak berkuasa mendapatkan dokumen diperlukan.
“Saya masih waras dan tahu batas-batas sebagai seorang menteri. Apa guna saya sebagai menteri sekiranya saya tidak memberi tumpuan serius terhadap kepentingan negara, tambahan pula ia menjejaskan imej negara dan menakut-nakutkan pelancong asing?
“Jika kita tidak serius dalam isu ini sekarang, sampai bila-bila pun ia tidak akan diselesaikan. Mungkinkah ada segelintir pegawai takut jika perkara ini terbongkar sehingga memberi kesan kepada kepentingan peribadi mereka,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, seorang menteri didakwa menceroboh masuk ke dewan ketibaan antarabangsa KLIA bagi mendesak Jabatan Imigresen membebaskan seorang pelawat dari China sehingga tular dalam media sosial.
Ia didakwa berlaku petang semalam apabila menteri berkenaan dikatakan masuk ke kawasan ketibaan itu tanpa memohon pas.
Difahamkan, ia bertujuan ‘menyelamatkan’ seorang wanita warga China yang dikatakan dinafikan daripada memasuki negara ini setelah tiba semalam.
Apabila mendapat tahu mengenai tahanan itu, menteri berkenaan didakwa ke KLIA dan memasuki ke dalam dewan ketibaan tanpa memohon pas keselamatan.
Apabila dihalang, dia dikatakan menggunakan kuasa menterinya termasuk memarahi Polis Bantuan KLIA dan pegawai imigresen kerana mahu menyelamatkan wanita warga China berkenaan, dakwa portal terbabit.
King Sing yang juga ahli Parlimen Bintulu itu mendakwa, terdapat pihak dalam agensi imigresen cuba mewujudkan persepsi tidak baik dan berunsur fitnah kepadanya.
“MCMC mesti menyiasatkan daripada pegawai dalaman yang menularkan dan fitnah atas gambar-gambar dan maklumat tersebut. Walaupun niat mereka tidak diketahui, maka berkemungkinan mereka terkejut dengan penyertaan SPRM dan bimbang bahawa ‘sumber pendapatan’ mereka akan terputus atau terancam
“Mungkin juga mereka ingin melindungi rakan-rakannya dengan sengaja membocorkan maklumat, membuat tuduhan tanpa asas dan menyebarkan laporan palsu,” katanya.
Sementara itu, King Sing mendedahkan bahawa beliau diberitahu terdapat pegawai imigresen meminta wang sekiranya pelancong asing ditahan ingin dilepaskan.
“Ada yang minta sehingga RM3,000 untuk dikeluarkan dari tahanan termasuk tiket penerbangan pulang ke negara asal. Tambahan RM3,000 pula diminta jika mahu pulang ke negara asal dengan kadar segera menerusi ‘laluan khas’, manakala RM12,000 untuk kos memproses visa.
“Semua maklumat ini akan diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya siasatan dapat dijalankan seterusnya dapat memulihkan imej Malaysia terutamanya di pintu masuk negara,” jelasnya. – UTUSAN