Mekanik lumpuh rayu bantuan siapkan bengkel terbengkalai

Mekanik lumpuh rayu bantuan siapkan bengkel terbengkalai

MOHAMAD Zulkarnain Mustafa (depan) bersama ibu bapa dan adik-beradiknya di hadapan bengkel motosikalnya yang terbengkalai di Chenderong Balai dekat Pasir Salak, Perak. 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR SALAK: Seorang mekanik lumpuh separuh badan sehingga terpaksa membaiki motosikal di atas katil merayu bantuan kerajaan menyiapkan pembinaan bengkelnya yang terbengkalai.

Mohamad Zulkarnain Mustafa, 27, berkata, bengkel berhampiran rumah keluarganya di Labu Kubong, Chenderong Balai, dekat sini tertangguh pembinaannya kerana tidak cukup modal.

Katanya, dia lumpuh selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya pada 2015, namun masih meneruskan kerja sebagai mekanik motosikal.

“Saya kasihan melihat ibu bapa dan adik-beradik saya yang terpaksa menolak katil saya keluar rumah setiap kali saya hendak membaiki motosikal pelanggan.

“Jika bengkel ini siap, ini memudahkan saya bekerja membaiki motosikal. Saya dapat menjalani rutin harian tanpa menyusahkan ahli keluarga,” katanya.

Sementara itu, Mohamad Zulkarnain berkata, walaupun lumpuh, dia tidak ingin meratapi nasib yang menimpanya sebaliknya mahu menjalani kehidupan seperti orang lain dan mencari wang untuk ahli keluarganya.

Katanya, dengan kemahiran membaiki motosikal yang diperolehnya ketika bekerja di sebuah bengkel, dia mahu menggunakan kelebihan itu sebagai punca pendapatannya.

“Saya berharap ada pihak yang dapat membantu menyiapkan bengkel motosikal yang terbengkalai ini supaya saya dapat memulakan perniagaan dengan lebih sempurna,” katanya.

Orang ramai yang mahu memberikan bantuan boleh memberikan sumbangan menerusi akuan BSN 0899541100176316 atas nama Mohamad Zulkarnain.

Utusan Malaysia sebelum ini menyiarkan laporan mengenai Mohamad Zulkarnain yang lumpuh separuh badan selepas terlibat kemalangan jalan raya namun meneruskan pekerjaan sebagai mekanik motosikal meskipun terpaksa bekerja dari atas katil. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya