PETALING JAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bakal mengambil tindakan perundangan terhadap pihak Meta kerana gagal memberikan kerjasama menurunkan kandungan yang memudaratkan daripada platformnya, Facebook.
Melalui kenyataan, MCMC memaklumkan, Facebook akhir-akhir ini dibelenggu dengan jumlah kandungan memudaratkan yang signifikan membabitkan elemen kaum, institusi diraja, agama, penyamaran, judi dalam talian dan iklan-iklan penipuan.
Jelasnya, MCMC sudah menghubungi pihak Meta bagi menurunkan kandungan-kandungan yang mempunyai unsur tersebut di Facebook namun mereka masih gagal mengambil tindakan secukupnya dalam menangani isu berkaitan kandungan itu.
“Maklum balas pihak Meta yang lembap dan kurang memuaskan, tidak setimpal dengan keseriusan perkara berkenaan. Ini telah mengundang kebimbangan serta penelitian awam, memandangkan tahap kerjasama yang diberikan oleh Meta adalah tidak memadai.
“Pihak MCMC tidak teragak-agak untuk mengambil langkah definitif atau tindakan perundangan terhadap Meta sebagai langkah untuk memastikan pengguna dilindungi dan mempunyai persekitaran selamat dalam alam digital.
“Tindakan berkenaan adalah perlu dalam menyemaikan kebertanggungjawaban untuk keselamatan siber selain memperkasakan perlindungan pengguna terhadap kandungan memudaratkan, termasuk juga aktiviti penipuan,” katanya hari ini.
MCMC berkata, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap sebarang perbuatan menyalahguna platform dalam talian telekomunikasi, rangkaian atau kemudahan dalam talian secara berterusan.
“Untuk aktiviti siber berniat jahat, pishing ataupun sebarang kandungan yang mengganggu-gugat kestabilan kaum, keharmonian sosial dan penghinaan terhadap institusi diraja,” tegasnya. – UTUSAN