LUMUT: Agensi Penguatkuasaaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Perak menerima aduan mengenai penemuan satu mayat lelaki tanpa identiti di sekitar perairan Kepulauan Sembilan, dekat sini, petang semalam.
Pengarah APMM Perak, Kapten Maritim Mohd Hambali Ya’akup berkata, aduan tersebut diterima daripada nelayan tempatan yang sekitar pukul 3.35 petang, dengan menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Perak.
“Sehubungan itu, bot peronda Benteng 06 digerakkan dan tiba di lokasi kejadian pada pukul 4.43 petang.
“Anggota kemudian mengambil mayat tersebut untuk dibawa ke Jeti Perikanan, Kampung Acheh, Sitiawan, sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau menyeru komuniti maritim tampil ke balai polis berhampiran sekiranya terdapat ahli keluarga mereka yang hilang atau tidak balik ke rumah dalam tempoh melebihi 24 jam bagi membantu siasatan.
Sebarang maklumat, insiden kecemasan atau aduan mengenai jenayah maritim, orang ramai boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Perak di talian 05-6838737 atau MERS 999 untuk maklum balas segera. – UTUSAN