Masyarakat tidak tergugat hanya kerana segelintir tidak dapat berjudi - Mufti Perlis - Utusan Malaysia

Masyarakat tidak tergugat hanya kerana segelintir tidak dapat berjudi – Mufti Perlis

MOHD. ASRI. ZAINUL ABIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Langkah kerajaan negeri memutuskan untuk tidak menyambung atau memperbaharui lesen premis judi di negeri ini merupakan satu tindakan positif melambangkan identiti Islam dibawa dalam pentadbiran.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin berkata, usaha tersebut cukup baik khususnya dalam mengekang perbuatan mungkar berkenaan.

Justeru katanya, seluruh masyarakat tidak seharusnya tergugat dengan pelaksanaan itu, baik dari sudut ekonomi mahupun keharmonian antara kaum.

“Masyarakat kita tidak akan tergugat hanya kerana ada beberapa pihak yang tidak dapat berjudi, dan saya merasakan ia satu langkah yang sangat positif dengan tidak lagi meneruskan operasi pusat-pusat perjudian di Perlis,” katanya.

Terdahulu Utusan Malaysia melaporkan, kerajaan negeri kekal dengan pendirian untuk tidak menyambung atau memperbaharui lesen mana-mana pengusaha premis judi di negeri ini.

Buat masa ini, terdapat enam premis perjudian di negeri ini dan lesen bagi pengusaha terakhir yang menjalankan operasi berkenaan dijadual tamat tempoh pada Mac 2024.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Fakhrul Anwar Ismail berkata, selepas penamatan tempoh tersebut, tiada mana-mana pengusaha premis judi akan diberikan kelulusan bagi penyambungan lesen operasi mereka selaras dengan polisi baharu dibawa kerajaan negeri.

Sebelum itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Indera Kayangan, Gan Ay Ling meluahkan kekecewaan berhubung tindakan kerajaan negeri yang dilihat tidak telus berhubung status lesen premis perjudian di Perlis.

Kata Ay Ling, kerajaan negeri tidak lagi memperbaharui lesen pengusaha premis judi di Perlis walaupun sehingga kini tiada sebarang pengumuman rasmi dibuat.

Dalam pada itu Mohd. Asri berkata, pelaksanaan oleh kerajaan negeri itu adalah wajar memandangkan judi juga bukannya merupakan sumber bagi kekuatan ekonomi.

“Sekiranya ia (judi) diandaikan satu sumber, pasti Allah SWT akan menggantikan dengan yang lebih baik dan diberkati,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya