SEKIAN lama mengunci mulut, pelakon yang satu masa dahulu popular sebagai bintang kanak-kanak dalam drama Home Improvement, Zachery Ty Bryan akhirnya membuka cerita tentang jatuh bangun kehidupan yang dilalui sepanjang bergelar selebriti Hollywood.
Zachery membuat pendedahan mengejutkan menerusi satu wawancara yang diadakan bersama The Hollywood Reporter baru-baru ini.
Antara yang dikongsikan pelakon berusia 41 tahun itu adalah kesukaran yang dihadapi untuk meneruskan kerjaya selepas rancangan itu ditamatkan pada tahun 1999.
“Pelakon rancangan TV hari ini mempunyai banyak peluang untuk muncul dalam filem. Berbeza dengan saya satu masa dulu yang berdepan penolakan demi penolakan sehingga membuatkan saya hampir berputus asa.
“Anda tetap diklasifikasikan sebagai bintang drama dan tidak dipandang penting untuk filem meskipun berbakat dalam lakonan dan memberikan persembahan yang baik ketika sesi uji bakat.
“Saya akui, bukan mudah untuk saya mendapat tawaran berlakon selepas membintangi Home Improvement meskipun rancangan terbitan stesen televisyen ABC itu berjaya menambat hati penonton,” katanya.
Zachery dalam masa sama turut berkongsi masalah sosial yang dihadapinya gara-gara mengecap populariti pada usia muda.
Antaranya yang dikongsikan adalah masalah ketagihan alkohol yang dialami seawal usia 14 tahun.
“Dahulu, meskipun di bawah umur, saya dibenarkan masuk kelab malam disebabkan status saya sebagai pelakon Home Improvement.
“Pada usia sekarang, saya tinggalkan semua amalan buruk termasuk aktiviti berparti dan ketagihan alkohol. Perubahan itu menjauhkan saya daripada pelbagai masalah,” jelasnya.
Pada 2020, Bryan mencetuskan kontroversi selepas ditangkap kerana melakukan keganasan domestik, memandu di bawah pengaruh alkohol dan terlibat dalam kegiatan penipuan membabitkan kegiatan wang kripto.
Ketika masih memperisterikan Carly Matros pada tahun yang sama, Bryan menjalinkan hubungan skandal dengan wanita bernama Johnie Faye Cartwright.
Bagaimanapun, hubungan mereka berakhir penuh kontroversi selepas Cartwright membuat laporan polis mendakwa dirinya didera pelakon berkenaan.
Dakwa Bryan, pergelutan dengan wanita tersebut berlaku disebabkan teman wanitanya itu mengesyaki Bryan masih bergelar suami kepada Matros meskipun telah menceraikan Cartwright pada Oktober 2020.
Bryan mengaku bersalah mengasari Matro dan dimasukkan ke rehab selama tiga tahun dan dihalang berhubung dengan mangsa.