Masih 'dikejar' penyanyi dangdut wanita - Utusan Malaysia

Masih ‘dikejar’ penyanyi dangdut wanita

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEBUT sahaja nama Iwan pasti kita akan terkenang era kegemilangan irama dangdut kontemporari yang pernah mencetuskan fenomena dalam industri hiburan tanah air sekitar 1990-an.

Bermula sejak itu, nama Iwan terus meniti di bibir peminat serta rakan artis seangkatan sehingga dia digelar raja dangdut.

Selepas lebih sedekad melakukan penghijrahan besar dalam hidupnya dan mula memakai tanda nama Iwan Syahman, dia mengakui masih ‘dikejar’ penyanyi dangdut wanita.

Kata penyanyi lagu Memori Daun Pisang ini, masih ada rakan artis yang meminta dia menghasilkan karya untuk mereka.

Namun, berpegang teguh dengan prinsip suara wanita adalah aurat untuk dipersembahkan dalam bentuk lagu dan irama, dia menolak hajat tersebut secara baik.

“Memang tidak. Kalau dulu boleh lagi. Anak saya sendiri, Oktovia Manrose dan Aprena Manrose pun saya tolak permintaan mereka,” katanya yang merahsiakan nama penyanyi tersebut.

Pemilik nama lengkap Wan Syahman Wan Yunus, 62, menegaskan setiap keputusan dan tindakan yang dibuat adalah demi mencari reda Allah SWT.

Kongsinya, dia tidak mahu mensia-siakan peluang bertaubat dan kembali pada jalan yang benar setelah mendapat hidayah 10 tahun lalu.

“Kehidupan saya bukan macam dulu lagi. Allah bagi petunjuk sekali saja. Kalau saya ulang balik macam dulu, tak tahu sama ada Allah boleh ampunkan atau sebaliknya.

“Apa yang saya inginkan sekarang adalah usaha berterusan untuk istiqamah agar jangan jadi macam dulu lagi. Carilah reda Allah agar kita selamat hidup di dunia dan akhirat,” katanya.

HAJI DIY

Ketika beberapa selebriti mendapat peluang menunaikan haji secara tajaan mahupun pakej VIP, berbeza bagi Iwan yang berusaha untuk melaksanakan Rukun Islam kelima secara sendiri.

Namun, disebabkan beberapa masalah dokumentasi termasuk status visa yang belum siap sepenuhnya, dia terpaksa melupakan seketika hajat tersebut.

“Visa saya tak siap sebab status penduduk tetap (bukan warganegara). Sebanyak RM4,000 juga saya habiskan untuk urusan visa.

“Saya akan beli tiket penerbangan, permit masuk ke Arafah, penginapan serta makan minum semuanya diuruskan sendiri dan ejen di sana.

“Saya sudah buat perancangan ini sejak bulan lalu,” kongsinya yang perlu membelanjakan kos lebih RM15,000 bagi menunaikan haji secara bersendirian.

Disoal hasrat murninya tertangguh buat seketika waktu, Irwan berkata, dia tidak sesekali berasa kecewa mahupun putus asa untuk menuju ke tanah suci.

“Semua Allah SWT sudah tentukan. Apa yang penting kita perlu tawakal dan banyakkan bersabar, itu kuncinya. Allah yang berhak menentukan segalanya. Ini semua kerja Tuhan bukan kerja manusia.

“Kalau dapat pergi tunai haji, syukur Alhamdulillah. Kalau tak dapat pergi mungkin ada kerja agama lain yang perlu dibuat. Saya berserah pada ketentuan-Nya,”katanya.

Iwan ditemui semasa majlis menandatangani perjanjian usahasama antara Angkasa Mukmin Sdn. Bhd., Hayya Travel & Tours Sdn. Bhd. dengan Batik Air bagi program umrah sesi 2023 hingga 2024, baru-baru ini.

Penyanyi yang berasal dari Sumatera Barat, Indonesia itu merupakan antara empat selebriti ditaja syarikat terbabit untuk menunaikan umrah bersama tiga artis lain iaitu Mel Wings, Ali XPDC dan dR Sam.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya