Masalah sampah haram 'pandu lalu' 20,000 penduduk selesai - Utusan Malaysia

Masalah sampah haram ‘pandu lalu’ 20,000 penduduk selesai

Sampah haram
JUWAIRIYA Zulkifli dan Noor Halim Miswan (tengah) melihat lokasi pembuangan sampah baharu itu di Kampung Bukit Kuching, Kuala Selangor, Selangor, hari ini. - UTUSAN / ISKANDAR SHAH MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: Isu sampah haram dibelenggu 20,000 penduduk lima buah kampung di sekitar Kampung Bukit Kuching di sini, sejak lima tahun lalu selesai dengan pembinaan tapak pembuangan baharu hari ini. 

Kawasan di Jalan Sasaran itu sebelum ini menjadi lokasi utama membuang sampah secara ‘pandu lalu’ oleh pihak tidak bertanggungjawab di tepi jalan meskipun beberapa tong sampah disediakan oleh pihak berkaitan.

Masalah itu mengakibatkan jalan utama berkenaan bukan saja busuk akibat timbunan sampah malah berlaku mendapan tanah dan kemalangan jalan raya.

Ketua Kampung Bukit Kuching, Noor Halim Miswan berkata, isu pembuangan sampah itu turut dihadapi penduduk Kampung Bukit Hijau, Kampung Bukit Cherakah, Kampung Bukit Kuching Tengah dan Kampung Parit Mahang sejak sekian lama.

“Keadaan itu bukan saja menyebabkan longgokan sampah berbau busuk malah berlaku tanah mendap, kesesakan dan kemalangan.

“Kami bersyukur isu itu kini berakhir dengan adanya tempat pembuangan baharu yang lebih luas dan sistematik bagi kegunaan penduduk kampung,” katanya ketika ditemui di lokasi itu hari ini.

Tambah Noor Halim, dia berharap penduduk termasuk beberapa taman perumahan berhampiran memanfaatkan kemudahan itu dan tidak melakukan vandalisme.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati lokasi sampah haram kira-kira 10 meter dari tempat pembuangan baharu itu sudah dibersihkan dan diratakan bagi pembinaan projek tebatan banjir.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Melawati, Juwairiya Zulkifli berkata, semakan mendapati tapak baharu itu merupakan rizab Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan telah mendapat kebenaran penambahbaikan bagi pembuangan sampah.

“Perbincangan lanjut dengan KDEB Waste Management (KDEBWM) dan Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) bersetuju mewujudkan tapak yang mampu memuatkan tiga tan metrik sampah itu.

“Pelaksanaan projek itu dilaksanakan hasil sumbangan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) KDEBWM dengan kos berjumlah RM16,000,” katanya.

Jelas beliau, projek itu sepatutnya siap dalam tempoh sebulan pada Februari lalu namun mengalami kelewatan berikutan kerja tebatan banjir dijalankan JPS ketika ini.

“Kita memindahkan sedikit tapak sejauh 10 meter dari tempat asal bagi membolehkan projek tebatan banjir dapat dilaksanakan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya