PETALING JAYA: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) mempertingkat pemantauan dan rondaan di sempadan perairan negara bagi mencegah sebarang kemungkinan jenayah rentas sempadan pada musim perayaan Hari Raya Aidiladha ini.
Pemantauan itu melibatkan pencerobohan bot nelayan asing, penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) dan pelbagai jenayah lain.
Pemangku Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan Ibrahim berkata, sejumlah 236 aset terdiri daripada 70 kapal, 166 bot dan tujuh pesawat diatur gerak bagi melaksanakan rondaan dan pemantauan khususnya di kawasan perairan sempadan negara.
“Selain itu, penugasan keanggotaan melibatkan seramai 4,331 pegawai dan anggota yang menzahirkan erti pengorbanan apabila sanggup berjauhan dengan keluarga masing-masing demi menjaga keselamatan perairan negara sempena Aidiladha ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kata beliau, pelbagai elemen turut diberikan tumpuan dengan membendung aktiviti jenayah seperti penyeludupan barangan kontraband dan manusia serta rompakan di laut.
“Sebanyak 43 bot nelayan asing ditahan selain menumpaskan 50 aktiviti penyeludupan serta pelbagai tangkapan lain dengan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan bernilai hampir RM67 juta sepanjang enam bulan pertama tahun ini.
“Rondaan dan pemantauan di perairan sempadan negara sentiasa dipertingkat biarpun dalam musim perayaan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, Maritim Malaysia sentiasa serius dalam menjaga keselamatan maritim negara walaupun ketika rakyat sedang meraikan sambutan perayaan.
“Orang ramai diminta melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan agar kegiatan yang melanggar undang-undang di laut dapat dibendung sekali gus perairan Malaysia terus aman dan selamat,” katanya. – UTUSAN