Malaysia perlu 'pulihkan' kes pemerdagangan libatkan penjawat awam

Malaysia perlu ‘pulihkan’ kes pemerdagangan libatkan penjawat awam

SAIFUDDIN Nasution Ismail pada sidang akhbar khas berhubung Laporan JNAS di Kementerian Dalam Negeri, Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan akan meningkatkan usaha dan memberi penekanan terhadap kes pemerdagangan orang yang melibatkan penjawat awam.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, perkara tersebut merupakan satu daripada 15 penambahbaikan dalam Laporan Jabatan Negara Amerika Syarikat (JNAS) mengenai Pemerdagangan Orang Tahun 2023 yang perlu dilaksanakan Malaysia untuk penilaian bagi tahun berikutnya.

Penilaian itu bermula pada 1 April lalu sehingga 31 Mac tahun hadapan.

“Kalau dibandingkan (penjawat awam) dengan pembabitan watak lain (seperti) majikan dan ejen tidak lah sampai tahap itu (membimbangkan). Tapi sudah tentu badan yang menilai berpendapat, tidak mungkin hal itu (pemerdagangan orang) boleh berlaku tanpa penglibatan dalam kalangan penjawat awam.

“Misalnya dia adalah pegawai yang bertugas bagi memastikan beberapa perkara itu kena ada pematuhan, jadi berpaling dari aspek itu membolehkan pemerdagangan berlaku, itu sendiri dianggap sebagai pembabitan,” katanya menerusi sidang akhbar berkenaan laporan JNAS 2023 di sini hari ini.

Ketika ditanya mengenai kesan peralihan dari Tahap 3 ke Tahap 2 Pemerhatian, Saifuddin berkata, peralihan tersebut memberi kesan yang baik terhadap negara terutamanya dari segi ekonomi.

Jelasnya, penarikan balik sekatan import terhadap produk-produk syarikat seperti Sime Darby dan Top Glove disebabkan dakwaan buruh paksa turut memberi kelegaan.

“Justeru, perkara tersebut adalah signifikan dan relevan terhadap ekonomi negara sama ada produk kita itu ada pasaran atau tidak di peringkat antarabangsa,” ujarnya.

Kata beliau, antara pencapaian signifikan yang direkodkan dalam laporan itu adalah peningkatan bilangan penyiasatan, pendakwaan dan sabitan kes serta pendakwaan terhadap penjawat awam dan peningkatan bilangan mangsa.

Selain itu, katanya, pencapaian tersebut turut melibatkan pelaksanaan usaha peningkatan kesedaran di sektor perladangan sawit, bilangan latihan, perkhidmatan perlindungan dan sokongan kepada mangsa pemerdagangan orang.

Pada sama sama, Malaysia disaran meningkatkan pengenalpastian mangsa dalam kalangan golongan rentan, pekerja domestik, pekerja sektor perladangan sawit dan sarung tangan getah.

Tambahnya, KDN dan Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (MAPO) akan terus memperkasakan sinergi dengan pertubuhan bukan kerajaan, pertubuhan masyarakat madani, pertubuhan antarabangsa dan perwakilan diplomatik asing.

Ini termasuk kalangan ahli akademik dan pihak majikan dalam memastikan isu ini ditangani secara holistik melalui pendekatan menyeluruh tanpa kompromi demi keselamatan dan kedaulatan negara.

Katanya lagi, para majikan juga mempunyai tanggungjawab besar untuk memastikan hak dan kebajikan pekerja dipelihara bagi mengelakkan daripada berlakunya amalan buruh paksa dan pemerdagangan orang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya