PUTRAJAYA: Kisah Malaysia memerangi pelampau bersenjata antara disentuh Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin ketika lawatan kerjanya ke Arab Saudi semasa menyertai Mesyuarat Peringkat Menteri Gabungan Sejagat Membanteras Daesh 2023.
Menerusi kenyataan Wisma Putra di sini, program edisi kesepuluh itu bertujuan memperkukuhkan komitmen semua negara anggota pakatan ini dalam usaha menentang kumpulan tersebut melalui langkah pembinaan kapasiti.
Gabungan khas berkenaan ditubuhkan sejak 2014 ekoran kegusaran global terhadap isu kegiatan Daesh dan ancamannya kepada keamanan serta keselamatan antarabangsa.
Mesyuarat kali ini dipengerusikan bersama Menteri Luar Arab Saudi, Putera Faisal Farhan Al-Saud dan rakan sejawatnya, Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Anthony J. Blinken disertai 86 pihak menyertai pakatan ini termasuk tiga badan sejagat iaitu Pertubuhan Polis Antarabangsa (Interpol), Organisasi Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dan Liga Arab.
Daesh daripada singkatan bahasa Arab untuk Negara Islam rantau Syam dan Iraq atau akronim ISIL dalam bahasa Inggeris, mula dibentuk pada 2006 sebagai gerakan ekstremis.
Kumpulan aliran jihad salafi itu yang bersekutu dengan rangkaian Al-Qaeda dianggarkan memiliki kekuatan 7,000 askar dan sejak 2010 telah dipimpin oleh Abu Bakar al-Baghdadi.
Wisma Putra berkata, program tersebut turut memperhalusi segenap aspek pakatan bagi melumpuhkan rangkaian Daesh dan mengekang penularan pengaruhnya.
“Timbalan Menteri Luar juga berkongsi pendekatan menyeluruh dilakukan kerajaan Malaysia dan penglibatan bersama masyarakat demi memerangi ekstremisme,” katanya.
Penyertaan negara ini dalam mesyuarat tersebut membuktikan komitmen Malaysia untuk memainkan peranan proaktif melalui pelbagai inisiatif sejagat bagi membasmi pelampau.
Mohamad mewakili Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berada di Arab Saudi sejak semalam antara lain bertemu Setiausaha Agung Majlis Kerjasama Teluk (GCC), Jassim Mohamed Al-Budaiwi sejajar mandat oleh ASEAN untuk Malaysia sebagai negara penyelaras.
Menerusi perjumpaan itu, mereka bersepakat dengan penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN dan GCC yang buat julung kali bakal diadakan pada bila-bila masa sahaja tahun ini. – UTUSAN