PUTRAJAYA: Hubungan akrab antara Malaysia dan Indonesia dan komitmen kedua-dua pemimpin berjaya menyelesaikan pelbagai isu berlarutan sejak berpuluh tahun lalu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dalam sejarah hubungan dua hala mana-mana negara dunia, peningkatan kerjasama dan persefahaman dalam masa singkat dengan Indonesia disifatkan luar biasa melalui satu bentuk perundingan yang dianggap ‘keluarga dan sahabat’.
Beliau berkata, bersempena lawatan kerja Presiden Indonesia, Joko Widodo ke Malaysia kali ini, beberapa memorandum persefahaman dimeterai dan kerjasama dua hala sampai ke tahap membanggakan sekali gus memberi faedah dan mafaat bukan sahaja kepada kerajaan tetapi rakyat antara dua negara.
Bidang kerjasama itu termasuklah antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan polis di Indonesia, aspek pertahanan negara, perdagangan dan pelaburan termasuk soal pekerja dan isu di sempadan dalam mendukung ibu negara Indonesia di Kalimantan demi memperkukuhkan pembangunan di sempadan.
“Kalau kita teliti beberapa perjanjian tadi, dalam pertemuan saya dengan Presiden Indonesia di Bogor, beliau beritahu saya bahawa rundingan ini sudah puluhan tahun tetapi tidak mampu diselesaikan.
“Saya bangga dengan kepimpinan kedua-dua pemimpin hari ini dan rakan-rakan lain dapat selesaikan isu yang telah runding selama berpuluh tahun dan hari ini kita saksikan ada yang soal kecil dan kita putuskan mengikut arahan Presiden,” katanya dalam sidang akhbar bersama Joko Widodo yang dikenali Jokowi di Kompleks Seri Perdana, di sini hari ini.
Terdahulu, Anwar dan Jokowi menyaksikan pertukaran enam instrumen dua hala yang ditandatangani kedua-dua negara antaranya, Perjanjian Lintas Sempadan; keselamatan perairan iaitu Perjanjian Berkaitan Persempadanan Laut Wilayah Kedua-dua Negara di Bahagian Paling Selatan Selat Melaka dan Persempadanan Laut Wilayah Dua Negara di Laut Sulawesi.
Selain itu MoU berkaitan bidang ekonomi iaitu Perjanjian Perdagangan Sempadan dan juga Kerjasama Promosi Pelaburan dan Pengiktirafan Bersama Pensijilan Halal Bagi Produk Domestik.
Menurut Anwar, bidang kerjasama perdagangan dan pelaburan turut diberi tumpuan penting terutama berkaitan pelaburan langsung asing dan menyatakan komitmen Malaysia menerusi Belanjawan Madani melalui peruntukan RM1 bilion untuk memperkukuh badan berkanun keselamatan di sempadan seperti Kastam dan Imigresen termasuk aspek prasarana berkaitan.
Selain itu, kata beliau, isu kepentingan kelapa sawit turut ditekankan penegasan kedua-dua negara dalam memelihara komoditi itu di peringkat antarabangsa.
Katanya, kedua-dua negara menyambut baik dalam memelihara urusan perdagangan dan keputusan pelaburan kelapa sawit bukan sahaja untuk syarikat besar malah untuk kepentingan pekebun kecil.
“Tahniah kepada kedua-dua menteri berkaitan kerana pertama kali satu suara Indonesia dan Malaysia menyuarakan untuk pertahankan kepentingan kelapa sawit.
“Isu-isu lain yang dirunding seperti isu sempadan jerebu, kerjasama peningkatan kebudayaan, pendidikan, bidang dakwah sederhana serta pemahaman Islam bahkan di Indonesia boleh dimanfaatkan dan diteruskan kerana ini memberi makna persahabatan dan kerjasama yang akrab,” katanya. – UTUSAN