Malaysia bakal hilang 70 peratus pekerja berkemahiran tinggi - Utusan Malaysia

Malaysia bakal hilang 70 peratus pekerja berkemahiran tinggi

NUR Athira Huda Mohd Puah yang merupakan jurutera memeriksa peralatan elektrik ketika bertugas di atas kren di Pelabuhan Tanjung Pelepas, Iskandar Puteri. – UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia bakal kehilangan 70 peratus pekerja kemahiran tinggi jika trend lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi berterusan dan tiada jalan penyelesaian.

Perkara itu mengambil kira statistik 35.16 peratus atau 115,939 orang lepasan SPM 2020 dan 48.74 peratus atau 180,680 lepasan pe­periksaan 2021 itu tidak melanjutkan pelajaran.

Data Jabatan Perangkaan pada 2019 mendapati kira-kira 390,000 atau 72.1 peratus lepasan SPM juga bertindak sedemikian.

Kerajaan tahun lalu menyasarkan mewujudkan 300,000 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi untuk golongan belia pada 2025.

Ia merentasi sektor berimpak tinggi seperti elektronik dan elektrikal, automotif, kimia dan sains hayat serta teknologi perubatan, namun jumlah itu sukar dicapai jika tiada tenaga kerja mencukupi untuk mengisi jawatan tersebut.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Tan Sri Dr. Sahol Hamid Abu Bakar berkata, bilangan pekerja berkemahiran tinggi bergantung penuh kepada belia yang me­lanjutkan pengajian sama untuk menjamin produktiviti negara yang mencukupi.

Beliau bimbang kerana statistik lepasan peperiksaan itu tidak melanjutkan pelajaran masih berterusan dan secara langsung boleh menjejaskan keperluan tenaga kerja negara.

Katanya, soal itu sekali gus menyebabkan Malaysia terus bergantung penuh kepada warga asing untuk mengisi kekosongan pekerja kemahiran tinggi dan akhirnya menyebabkan wujud pengeluaran ringgit ke negara lain.

“Apabila tiada belia mahu sambung pengajian, siapakah yang berkelayakan mengisi kekoso­ngan tenaga kerja kemahiran yang ditawarkan pada setiap tahun jika masih kurang produk keluaran pusat pengajian tinggi.

“Ini amat membimbangkan dan menyebabkan banyak kilang yang telah bertapak di Malaysia sejak sekian lama lari ke negara lain setelah melihat masalah kurang pekerja mahir dalam kalangan warga tempatan. Maka cukai dan pendapatan negara berkurangan,” katanya.

Semalam akhbar ini melaporkan anggaran lebih 458,000 lepasan SPM tidak menyambung pengajian ke peringkat tinggi dalam tempoh tiga tahun sejak 2020 sekali gus mencetuskan kebimbangan terhadap masa depan belia.

Statistik menunjukkan 35.16 peratus atau 115,939 orang lepasan SPM 2020 dan 48.74 peratus atau 180,680 lepasan peperiksaan 2021 itu tidak melanjutkan pelajaran.

Jika keadaan tersebut berterusan, dijangkakan sekitar 40 peratus atau kira-kira 116,454 orang daripada keseluruhan 403,637 calon SPM 2022 yang keputusannya bakal diumumkan pada 8 Jun ini, turut akan mengambil langkah serupa.

Angka itu boleh mencecah 848,073 orang jika data Jabatan Perangkaan pada 2019 yang mendapati kira-kira 390,000 atau 72.1 peratus SPM tidak mahu menyam­bung pelajaran diambil kira.

Sahol Hamid merangkap Pengerusi Lembaga Amanah Yayasan Prihatin Nasional berkata, 80 peratus lepasan SPM tidak me­nyambung pengajian bukan tidak minat, sebaliknya kerana masalah kewangan untuk menyara kehidupan di kampus.

Beliau berkata, perkara itu berdasarkan kajian dan tinjauannya terhadap calon-calon SPM di kawasan luar bandar bagi menjejaki belia miskin.

Presiden Majlis Profesor Negara (MPN), Prof. Emeritus Datuk Dr. Raduan Che Rose pula berkata, kerajaan perlu menyediakan peluang kepada lepasan SPM yang tidak dapat melanjutkan pengajian dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) supaya mereka dilengkap­kan kemahiran untuk bekerja.

Katanya, peluang terhad di pusat pengajian tinggi menyebabkan sebahagian belia tidak dapat me­nyambung pengajian kerana perlu bersaing dalam kalangan lepasan peperiksaan itu.

“Bukan semua dapat masuk universiti, tetapi kerajaan kena menyediakan peluang lain untuk mereka tidak berbuat demikian dengan sijil kemahiran menjadi pekerja separa mahir.

“Paling penting kena ada laluan mereka menjalani latihan kemahiran agar mereka tidak ketinggalan dilengkapi generasi berkemahiran tinggi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya