MAIPs, EIASC jalin kerjasama angkat kedudukan umat Islam - Utusan Malaysia

MAIPs, EIASC jalin kerjasama angkat kedudukan umat Islam

TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail (berdiri, tiga dari kiri) berkenan menyaksikan pementeraian perjanjian hasrat persefahaman antara MAIPs dan EIASC dalam pertemuan yang berlangsung di Ibu Pejabat EIASC di Addis Ababa, Ethiopia, baru-baru ini. -UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan Ethiopian Islamic Affairs Supreme Council (EIASC) bakal menjalinkan kerjasama pintar bagi mengangkat kedudukan umat Islam agar sentiasa dipandang tinggi oleh semua pihak.

Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, baginda berharap agar hubungan baharu antara kedua-dua pihak itu akan dapat diperhebat bagi mencapai tujuan berkenaan.

Baginda turut berbangga melihat pelbagai usaha telah dilakukan oleh EIASC dalam melaksanakan pengurusan umat Islam di Ethiopia termasuk membabitkan aspek pengurusan persediaan dan perjalanan ibadah haji.

“Selain itu, EIASC terlibat secara aktif memberikan perkhidmatan hal ehwal Islam seperti pendidikan, irsyad fatwa, dakwah, pengajian, pengimarahan masjid dan sebagainya,” titah baginda sewaktu berkenaan mengikuti jalinan kolaboratif melalui pertemuan yang berlangsung di Ibu Pejabat EIASC di Addis Ababa, Ethiopia, baru-baru ini.

Keberangkatan tiba baginda diiringi oleh Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd Asri Zainul Abidin dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor dengan disambut oleh Yang Dipertua EIASC, Sheikh Ibrahim Tufa dan Setiausaha Amnya, Sheikh Hamid Mussa.

Menerusi pertemuan itu, antara perkara yang dibincangkan adalah membabitkan peluang bagi melanjutkan pelajaran di Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) yang bernaung di bawah MAIPs dan pelaksanaan program mobiliti sarjana akademik ke Perlis.

Di samping itu, EIASC turut menyatakan hasrat bagi mempelajari dan bertukar pandangan mengenai pengalaman MAIPs dalam pelbagai bidang membabitkan pengurusan hal ehwal Islam.

Turut dimeterai dalam pertemuan berkenaan adalah perjanjian hasrat persefahaman antara kedua-dua wakil setiausaha majlis agama tersebut dengan disaksikan oleh Tuanku Syed Faizuddin merangkap Yang Dipertua MAIPs bersama wakil daripada Kementerian Luar Negeri Ethiopia, Anteneh Fentaw.

Selepas pertemuan berkenaan, Tuanku Syed Faizuddin bersama-sama Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil turut berkenan melaksanakan lawatan khas ke Kompleks Ibu Pejabat Kesatuan Afrika (African Union) yang menjadi medan perbincangan serta percambahan gagasan pemikiran mengabungkan kesemua 55 buah negara-negara di benua Afrika. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya