SEREMBAN: Wang atau harta tidak patuh syariah mengikut pengertiannya merupakan harta yang dimiliki dan diperoleh melalui perbuatan atau transaksi yang tidak diiktiraf oleh syarak.
Ia termasuklah seperti rompakan, rampasan, hasil jualan barang curi, rasuah, perjudian, loteri, transaksi riba, perlindungan insurans konvensional dan keuntungan menerusi pelaburan tidak patuh syariah.
Melalui keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Ke-87, Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Islam pada tahun 2009 telah menyatakan bahawa harta yang diperoleh dengan cara tidak mematuhi syariah tersebut adalah haram dan tidak boleh digunakan untuk manfaat dan kepentingan diri sendiri.
Menurut keputusan tersebut juga, wang dan harta berkenaan perlu dibersihkan antaranya dengan kaedah menyerahkan kepada Baitulmal untuk maslahat (faedah) umum umat Islam seperti membiayai pembinaan atau penyelenggaraan jambatan, jalan, tandas dan seumpamanya.
Sehubungan itu di Negeri Sembilan, Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) yang merupakan sebuah organisasi yang bertanggungjawab mentadbir dan memegang amanah harta-harta Umat Islam sebagaimana yang dituntut oleh hukum syarak juga telah mula menerima kutipan bagi penyaluran wang tidak patuh syariah ke Baitulmal MAINS.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Mal, Jabatan Wakaf MAINS, Ahmad Naim Azlan berkata, pihaknya telah menguruskan harta termasuk wang tidak patuh syariah secara penstrukturan baharu bermula pada tahun 2020.
Jelasnya, sebagaimana telah diputuskan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Ke-87, Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Islam pada 2009 itu, pihak MAINS juga telah menyalurkan wang tidak patuh syariah yang diterima berkenaan kepada tujuan-tujuan untuk maslahat umum.
“Hasil keputusan muzakarah fatwa itu, jika harta tersebut merupakan harta rompakan, curi dan seumpamanya, maka ia perlu diserahkan semula kepada pemiliknya dan ia terpulang kepada pihak berkuasa.
“Bagi yang melibatkan wang hasil seperti pelaburan saham tidak patuh syariah dan perlindungan insurans konvensional pula, muzakarah fatwa mencadangkan supaya ia disalurkan kepada pihak Baitulmal yang kini terletak di bawah majlis agama negeri-negeri.
“Duit ini kemudiannya akan digunakan untuk maslahat umum dan kegunaan orang ramai. Sebagai contoh MAINS juga sudah menyalurkan semula wang dengan membina dan menyediakan satu tempat menunggu di hadapan Menara MAINS di sini bagi kegunaan orang ramai termasuk pelajar dari sekolah yang terletak berhampiran,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Kata beliau, menyedari masih ramai umat Islam yang tidak mengetahui mengenai wang tidak patuh syariah ini, MAINS kini giat untuk memberikan kesedaran mengenainya termasuk tentang perkhidmatan yang disediakan organisasi itu bagi menguruskan wang terbabit.
Jelas Ahmad Naim hasil usaha berterusan termasuk penyediaan pembayaran secara dalam talian, penyaluran hasil wang tidak patuh syariah diterima pihak MAINS dari syarikat dan individu di negeri ini semakin meningkat.
“Pada tahun 2021, sebanyak RM33,367.16 telah diperoleh dan jumlah itu meningkat dengan mendadak pada tahun lalu iaitu sebanyak RM112.367.86. Pada tahun ini sahaja, iaitu setakat bulan Mei lalu, sebanyak RM65,865.51 telah diperoleh.
“Dahulu kami hanya menawarkan perkhidmatan ini secara kaunter, mungkin ramai yang malu untuk mengisytiharkan hasil wang tidak patuh syariah yang mereka terima namun apabila kami mula tawarkan penyaluran secara dalam talian kami dapati jumlahnya meningkat.
“Berdasarkan sistem itu kami dapati kebanyakannya melibatkan pelaburan tidak patuh syariah dan insurans konvensional. Wang ini semua digunakan untuk maslahat umum, tidak digunakan untuk pengurusan, gaji kakitangan dan sebagainya bahkan di MAINS, wang tidak patuh syariah ini mempunyai akaun khasnya yang tersendiri bagi memudahkan kami menguruskannya,” katanya lagi.
Tambahnya, menerusi usaha meningkatkan kesedaran orang ramai tersebut, pihak MAINS juga berharap setiap waris juga mempunyai tanggungjawab untuk menyalurkan hasil wang tidak patuh syariah yang telah ditinggalkan oleh ibu bapa mereka.
“Kami akan terus memberikan kesedaran kepada orang ramai dalam hal ini, sekali pun kita ini mempunyai banyak wang dan harta namun sekiranya ia hasil dari sumber yang haram, ia tidak akan memberikan manfaat kepada kita,” katanya lagi.
Dalam pada Ahmad Naim memberitahu, MAINS akan terus menyediakan beberapa projek lain untuk kegunaan orang hasil wang tidak patuh syariah yang telah diterima itu.
“MAINS ada menerima permohonan dan ia juga telah diluluskan iaitu pembinaan kanopi laluan pejalan kaki dan gazebo di sekolah-sekolah.
“Ada beberapa cadangan lain yang diterima termasuklah pembinaan tempat atau ruang pelbagai fungsi untuk disediakan di kawasan pelancongan seperti di Port Dickson dan kawasan jeram dan air terjun yang diuruskan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Setiap projek memang akan ada melalui prosedurnya, sekiranya ia melibatkan jumlah yang besar iaitu melebihi RM20,000 ia perlu dibawa ke dalam mesyuarat jawatankuasa untuk diluluskan. Kebiasaannya memang setiap projek tersebut nilainya memang melebihi RM20,000, itu pertimbangan-pertimbangannya,” katanya lagi.
Jelas beliau, serahan wang tidak patuh syariah boleh dibuat secara tunai di kaunter Ibu Pejabat MAINS atau Pejabat MAINS Daerah yang terletak di sekitar Negeri Sembilan.
Penyerahan juga boleh dilakukan secara dalam talian melalui https://www.zakatns2u.biz/wangxsyariah/ atau melalui akaun 05012010032055 (Bank Islam Malaysia Bhd.). –UTUSAN