Mahmood Zuhdi selamat dikebumikan

Mahmood Zuhdi selamat dikebumikan

MAHMOOD Zuhdi selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara sebentar tadi. - UTUSAN/ARIF AIMAN ASROL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pengerusi Majlis Dakwah Negara (MDN), Allahyarham Prof. Emeritus Datuk Dr. Mahmood Zuhdi Abd. Majid yang meninggal dunia akibat kanser paru-paru tahap empat selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara pada 11.20 pagi ini.

Kira-kira sekitar 300 termasuk ahli keluarga, rakan, pelajar dan juga pemimpin politik iaitu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar dan Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof hadir pada majlis pengebumian tokoh agama tersebut.

MUJAHID YUSOF

Anak pertama Allahyarham, Ahmad Naji Mahmood, 48, berkata, bapanya menghidap kanser paru-paru yang disedari sejak November tahun lalu iaitu ketika sudah berada di peringkat akhir penyakit tersebut.

“Bapa saya menerima rawatan daripada Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) bagi menjalani rawatan seperti kimoterapi dan adik saya juga kerja di situ, jadi beliau yang uruskan semua.

“Bapa saya sebelum meninggal seperti biasa, minggu lepas macam tak sedar sangat sebab ketika itu keadaannya sudah teruk,” katanya ketika ditemui media.

Mahmood Zuhdi meninggalkan balu, Datin Paizah Ismail dan tiga orang anak iaitu selain Ahmad Naji adalah Ahmad Syadi serta Ahmad Wafi.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, tokoh agama tersebut meninggal dunia pada pukul 10.20 malam, semalam.

Ahmad Naji berkata, bapanya sedang dalam proses menulis biografinya namun tidak sempat keluarkan siri seterusnya sebelum ajal.

“Sudah keluar dalam tiga siri, tak sempat habiskan siri seterusnya. Itu yang beliau kata terkilan sedikit,” jelasnya.

Sementara itu, Mujahid yang juga bekas Ahli Parlimen Parit Buntar itu berkata, Mahmood Zuhdi merupakan salah seorang ilmuan negara yang bukan sahaja banyak menulis tetapi turut memperkenalkan Fiqh Malaysia iaitu daripada sudut lokal.

Jelasnya, semasa menggalas tanggungjawab sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), beliau ada bertemu dengan Allahyarham untuk meminta pendapat dan pandangan.

“Saya kenal Allahyarham sejak sekolah lagi iaitu melalui pembacaan buku-bukunya. Tesis Doktor Falsafah (PhD) saya sendiri pun banyak rujuk kepada pandangan dan pendapat beliau.

“Semoga segala sumbangan Allahyarham boleh dikembangkan oleh generasi seterusnya dan beliau akan tersimpan rekod sebagai salah seorang ilmuan yang kontemporari, lokal serta praktikal dalam konteks Malaysia secara khususnya dan Feqah secara umumnya,” katanya. – UTUSAN

CAPTION

 

 

MOHD. Na’im memimpin bacaan doa pengebumian Allahyarham Mahmood Zuhdi. – UTUSAN/ARIF AIMAN ASROL

 

MUJAHID Yusof ketika ditemui media selepas pengebumian Allahyarham Mahmood Zuhdi. – UTUSAN/ARIF AIMAN ASROL

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya