KUALA TERENGGANU: Mahkamah Pilihan Raya di sini, hari ini, membatalkan dan menolak petisyen yang mencabar keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bagi kerusi Parlimen Marang.
Calon Barisan Nasional (BN), Jasmira Othman memfailkan petisyen itu pada 3 Januari lalu.
Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu, Datuk Hassan Abdul Ghani yang membuat keputusan itu turut memerintahkan Jasmira membayar kos sebanyak RM50,000
Hassan yang bersidang sebagai Hakim Mahkamah Pilihan Raya memberitahu, mahkamah akan memaklumkan keputusan tersebut kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam masa terdekat.
Dalam penghakiman itu, Hassan memaklumkan mahkamah menolak petisyen tersebut setelah mendapati bukti yang dikemukakan pihak pempetisyen sebelum ini gagal membuktikan keraguan munasabah.
Pada prosiding itu, Jasmira diwakili Datuk Mohd. Hafarizam Harun manakala Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Abdul Hadi Awang diwakili Datuk Seri Takiyuddin Hassan.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), Abdul Hadi memenangi kerusi Parlimen Marang dengan majoriti 41,729 undi.
Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 12 Februari lalu menolak bantahan awal yang dikemukakan Abdul Hadi untuk membatalkan petisyen keputusan PRU15 bagi Parlimen Marang yang difailkan calon BN.
Hassan kemudian menetapkan 6 hingga 21 Mac sebagai tarikh perbicaraan penuh bagi petisyen berkenaan.
Petisyen tersebut difailkan mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954. – UTUSAN