MEMELIHARA binatang, bermain muzik, mendaki bukit di samping berkhemah di hutan merupakan antara hobi yang lazim dilakukan seisi keluarga bagi mengisi masa lapang.
Namun berbeza bagi seorang penghantar surat di firma guaman di Kuala Lumpur yang menjadikan pembuatan wau tradisi sebagai aktiviti kegemaran keluarganya sejak lebih 10 tahun lalu.
Razi Said, 51, bertuah kerana minat sama turut dikongsi isteri, Zuraini Yunus, 46, di samping tiga anak iaitu Amira Wardina, 21, Muhammad Amirul Haikal, 18 dan Muhammad Amirul Shafiq, 17.
Sehingga kini, lebih 100 wau tradisi (bersaiz standard untuk pertandingan) sudah dihasilkan di samping untuk tujuan cenderahati dan hiasan.
Lebih membanggakan, seluruh ahli keluarganya mahir dalam menyobek wau walaupun proses itu rumit dan mengambil masa panjang.
Malah, dua anak lelakinya merupakan pemain wau kebangsaan yang dilatih sejak berusia enam tahun lagi.
Katanya, penglibatan dalam hobi itu bermula tanpa disangka pada 2009 selepas melihat permainan wau bulan di Taman Metropolitan, Kepong.
“Sebagai anak jati Kuala Lumpur, saya tidak pernah memegang atau bermain wau. Pada masa itu, minat saya hanya pada kelajuan kerana sudah lama bergelumang dalam dunia ‘mat rempit’.
“Saya sendiri tidak percaya bagaimana boleh terjebak mempertahankan seni warisan ini hingga mampu menghasilkan wau untuk pertandingan peringkat kebangsaan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di pusat beli-belah Mid Valley baru-baru ini.
Razi berkata, hatinya tertarik dengan wau kerana kagum dengan keindahan karya seni itu di samping mahu memelihara warisan tempatan.
Kongsi beliau, inisiatif pertamanya ialah dengan membeli wau bulan berharga RM300 untuk diterbangkan di kawasan taman dan keseronokan yang diraih amat luar biasa.
Perlahan-lahan hatinya tergerak mahu belajar cara penghasilan seni kraf itu daripada individu yang menjual wau berkenaan.
Pada 2010, mereka berdua bersama rakan lain sepakat menyertai pertandingan wau kebangsaan di Pantai Irama di Bachok, Kelantan sebagai wakil negeri Selangor.
Timba ilmu dengan lapan adiguru wau
Pengalaman kali pertama menyertai kejohanan dan berentap dengan kalangan adiguru wau merupakan pengalaman terindah sepanjang hidupnya.
Tempoh empat hari diambil untuk menyiapkan wau bulan bersaiz 4.5 kaki dan walaupun tidak membawa pulang sebarang hadiah tetapi hatinya puas.
Tanpa menoleh ke belakang, bapa kepada tiga anak itu terus mengorak langkah dan mengambil keputusan berguru dengan lapan pakar termasuk di Kelantan.
Misi dan visinya adalah untuk memantapkan lagi kemahiran menghasilkan wau di samping menghayati seni tradisi yang makin ditinggalkan masyarakat itu terutama generasi muda.
“Dalam Youtube ada ditunjukkan kaedah pembuatan wau tetapi secara asas sahaja dan untuk mendalaminya hingga mahir, saya perlu berguru dengan pakar.
“Demi menuntut ilmu itu, saya sanggup berulang-alik dari Kuala Lumpur ke Kelantan mahupun ke Kedah pada hujung minggu dan selepas habis waktu kerja,” katanya.
Buat wau ikut naluri, tidak tidur malam
Razi berkata, proses pembuatan wau mengambil masa yang panjang kerana setiap karya seni itu dihasilkan mengikut naluri bagi memastikan kehalusan kerawang atau corak hiasan sobek.
Ujarnya, kraf itu kebiasaannya boleh disiapkan dalam tempoh kira-kira tiga minggu bergantung kepada jenis dan corak.
Kegilaan pada wau turut mendorong lelaki ini tidak tidur malam kerana terlalu leka membuatnya.
“Siang saya sibuk bekerja dan aktiviti itu biasanya dilakukan pada pukul 11 malam dan berakhir kira-kira 5 pagi setiap hari selain pada hujung minggu.
“Bagaimanapun, saya hargai bantuan isteri dan anak-anak yang mahir menyobek serta menampal kertas sekurang-kurangnya dapat membantu mempercepatkan proses penghasilan wau,” katanya.
Menurut Razi, antara wau yang dihasilkannya ialah wau bulan, kucing, jala budi dan merak manakala motif pula diinspirasikan daripada fauna yang menjalar seperti kangkung dan tembikai.
Katanya, bahan-bahan yang diperlukan untuk membuat permainan tradisi itu ialah buluh, kertas (warna dan berkilat), benang serta gam.
Jelasnya lagi, seseorang perlu mengelak membuat wau pada waktu hujan kerana kertas yang digunakan sejuk dan berisiko rosak.
Tolak RM20,000 demi martabat seni
Razi teguh dengan pendirian tidak menjual setiap wau tradisi yang dihasilkan, walaupun pernah ditawarkan sebanyak RM20,000 oleh seorang warga Perancis.
Razi berkata, setiap wau yang dihasilkan itu mempunyai nilai sentimental tersendiri dan akan terus disimpan sebagai khazanah turun-temurun keluarga.
Jelasnya, penjualan wau hanya melibatkan yang bersaiz kecil bagi tujuan hiasan dan cenderamata dengan harga bermula dari RM60.
“Wau sudah sebati dengan saya dan akan terus dipertahankan hingga ke akhir hayat.
“Saya berharap generasi muda dapat menghargai produk kraf ini kerana ia bukan sahaja melambangkan kesenian Melayu malah Islam,” kongsinya.
Anak-anak terus legasi
Sementara itu, Zuraini lega usaha dan titik peluh suaminya memartabatkan wau selama ini bakal diwarisi anak-anak.
Katanya, masing-masing sudah didedahkan dengan pembuatan dan selok-belok bermain wau sejak kecil.
“Sebelum ini, kami tidak pernah ada hobi bersama dan wau berjaya merapatkan lagi hubungan seisi keluarga.
“Anak sulung baharu menamatkan diploma pendidikan awal kanak-kanak dan masa terluang di rumah banyak dihabiskan dengan menyobek wau,” katanya. – UTUSAN ONLINE