PETALING JAYA: Penganjuran karnival aktiviti luar ‘Kahf Lenggong Outdoor Festival 2023’ (ODF23) berperanan penting bagi memupuk semangat cintakan alam sekitar dan mengekalkan kelestarian flora serta fauna di negara ini.
Malah, festival anjuran LOCCO dengan kerjasama Majlis Daerah Lenggong (MDL) itu secara tidak langsung dapat mengetengahkan pelbagai produk ekopelancongan dan sejarah di kawasan yang pernah diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia.
Menurut Pengarah bersama LOCCO, Shamsul Bahrin Zainuzzaman berkata, ODF23 tahun ini memberi fokus terhadap kesedaran terhadap alam sekitar menerusi kerjasama 35 komuniti.
“Kita sangat gembira dan teruja dengan penganjuran acara seperti ini yang dapat menyatukan peminat aktiviti luar daripada semua lapisan masyarakat menerusi pelbagai aktiviti, pertandingan, perbincangan dan perkongsian ilmu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, Pengurus Jenama Kahf, Billy Dharmawan berkata, sokongan yang berikan 1,500 peserta terhadap ODF23 adalah bukti bahawa pihaknya komited untuk menyokong kebaikan dan berusaha ke arah kelestarian alam.
“Antara aktiviti disediakan adalah perkhemahan, berkayak, Stand Up Paddling, Bridge Rappelling, memanah dan merentas desa serta terbaharu iaitu ODF Ride, Lake Flying Fox, Flatland Skimboarding dan Tree Climbing,” katanya.
Dalam pada itu, peserta juga akan dihiburkan dengan persembahan muzik santai pada waktu malam oleh gig dan pemuzik tempatan seperti Teman Lelaki, Cisco, Nami, The Mirza dan banyak lagi. – UTUSAN