Lelaki pukul kepala pemandu wanita dipenjara tujuh hari - Utusan Malaysia

Lelaki pukul kepala pemandu wanita dipenjara tujuh hari

MOHAMMAD Zaim Faiz Tarmizi didakwa memukul kepala pemandu wanita dalam kejadian berhampiran Lata Iskandar Isnin lalu, dijatuhi hukuman penjara tujuh hari di Mahkamah Majistret Tapah hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAPAH: Penyelia kilang yang tular memukul kepala seorang pemandu wanita berhampiran Lata Iskandar Isnin lalu, dijatuhi hukuman penjara tujuh hari oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan melakukan ugutan dan mencederakan mangsa.

Tertuduh, Mohammad Zaim Faiz Tarmizi, 29, dijatuhi hukuman tersebut selepas mengaku bersalah sejurus kedua-dua pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Siti Hanum Mohmad Shah.

Mengikut pertuduhan, bapa kepada seorang anak itu didakwa menakutkan secara jenayah terhadap Amiera Atiqah Shahrizan, 25, dengan kata ugutan ‘pecah muka kau sat lagi’.

Perbuatan itu dilakukan tertuduh di Lata Iskandar, Kilometer 22 Jalan Tapah-Cameron Highlands dalam daerah Batang Padang pada pukul 5.33 petang, 5 Jun 2023.

Bagi kesalahan itu, dia dituduh mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.

Tertuduh juga didakwa bagi pertuduhan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada wanita tersebut di lokasi, masa dan tarikh yang sama.

Kesalahan itu memperuntukkan hukuman penjara setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Geetha Jora Singh manakala tertuduh pula tidak diwakili peguam.

Terdahulu, tertuduh ketika ditanya oleh Siti Hanum selain rayuan yang dikemukakannya memberitahu, kejadian berlaku ketika pengadu cuba memotong kenderaannya namun ada kenderaan lain di laluan bertentangan.

“Saya nak luahkan, dalam kejadian itu, pengadu yang membuat laporan cuba memotong tapi (laluan) bertentangan ada kereta.

“(Tindakan) itu boleh mengancam keluarga saya dan nyawa, sebab itu saya marah sangat kerana dalam kereta ada anak dan isteri saya (hamil lapan bulan),” katanya.

Sementara itu, Geetha memohon hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh kerana menyifatkan tindakan lelaki itu sebagai tidak wajar dan rasional.

Sebelum menjatuhkan hukuman, Siti Hanum menasihatkan tertuduh supaya berfikir dahulu sebelum bertindak dan setiap tindakan ada kesan dan akibatnya bukan sahaja kepada diri sendiri malah ahli keluarga dan masyarakat.

Siti Hanum kemudian menjatuhkan hukuman penjara tujuh hari bagi setiap pertuduhan dan kedua-dua hukuman berjalan serentak mulai tarikh sabitan iaitu hari ini.

Menerusi laporan media Selalu lalu, seorang lelaki ditahan selepas rakaman perbuatannya memarahi seorang pemandu wanita dan memukul kepala mangsa tular di media sosial.

Difahamkan, kejadian berlaku pada pukul 5.33 petang pada Isnin, ketika mangsa dan adik lelakinya berusia 17 tahun dalam perjalanan turun dari Cameron Highlands menuju ke Tapah.

Rakaman kejadian berdurasi 59 saat itu tular dengan memaparkan seorang lelaki dipercayai suspek dilihat turun dari kereta Proton Persona dan mengetuk cermin kereta dipandu mangsa.

Wanita itu yang menurunkan cermin keretanya untuk berbincang telah dimarahi oleh suspek dengan kata-kata kesat sebelum dia bertindak memukul kepala mangsa.

Susulan kejadian itu, satu laporan polis dibuat mangsa di Balai Polis Saujana Utama, Sungai Buloh. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya