Lelaki menyamar jemaah dicekup pecah tabung masjid

Lelaki menyamar jemaah dicekup pecah tabung masjid

CHIEN Chunng Tsaur (kiri) menunjukkan telekung dipercayai digunakan suspek untuk menyamar sebagai jemaah wanita dalam sidang akhbar di IPD Kubang Pasu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JITRA: Tembelang seorang lelaki berlagak alim dengan menyamar sebagai jemaah masjid selama beberapa hari sebelum bertindak memecahkan tabung rumah ibadat itu terbongkar apabila dia ditahan polis, minggu lalu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Deputi Superintenden Chien Chunng Tsaur berkata, suspek berusia 29 tahun dipercayai telah melakukan kegiatan tersebut di lapan masjid dalam daerah ini sejak awal tahun ini.

Selain itu katanya, suspek yang kini menganggur dipercayai turut terlibat dalam satu kejadian pecah rumah serta pecah kilang yang pernah menjadi tempat dia mencari rezeki, kira-kira setahun lalu.

“Siasatan dijalankan mendapati suspek tidak hanya menyamar menjadi jemaah lelaki, malah ada kalanya turut memakai telekung dan menyamar sebagai jemaah wanita. 

“Penyamaran itu dilakukan bagi membuat pemerhatian sebelum dia mencari waktu sesuai memecahkan tabung rumah ibadat tersebut dengan menggunakan mesin pencanai,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu di sini, hari ini.

Beliau berkata, bagi memastikan kerja itu dapat dijalankan dengan lancar, suspek menggunakan khidmat seorang lelaki bukan muslim berusia 37 tahun bagi menghantarnya ke lokasi sasaran menggunakan motosikal.

“Suspek turut dipercayai terlibat dalam kejadian tular seperti dilaporkan Utusan Malaysia dan Kosmo! di Masjid Al-Aqla, Jitra pada 1 Ramadan lalu dengan peti besi masjid ditemukan di pekarangan masjid, dipercayai cuba diheret keluar.

“Kejadian terakhir berlaku di Masjid Al-Hidayah, Taman Pasu di Jitra apabila suspek dipercayai cuba memecahkan sebuah tabung besi di situ, namun gagal kerana tabung besi itu terlalu tebal dan berat menyebabkan dia gagal mendapatkan sebarang hasil,” ujarnya.

Katanya, polis terus melakukan siasatan dan berjaya menahan suspek pada hari sama, kira-kira pukul 12 tengah hari.

“Susulan itu, pihak kami turut menahan rakannya yang merupakan pemandu lori, dipercayai bertindak sebagai individu yang akan menghantarnya ke mana-mana lokasi bagi melakukan jenayah tersebut,” jelasnya.

Menurutnya, terdapat lebih 20 barangan dirampas bagi membantu siasatan antaranya tukul besi, mesin pencanai, pahat, pemotong wayar, dua motosikal serta sepasang telekung yang dipercayai digunakan suspek dalam kegiatan jenayah itu.

“Suspek tidak memiliki rekod jenayah namun, rakannya mempunyai 15 rekod lampau. Ujian urin dijalankan terhadap mereka mendapati kedua-duanya positif dadah jenis methamphetamine,” katanya.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 380 dan 457 Kanun Keseksaan serta Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya