Lelaki maut, dua rakan cedera disambar petir ketika memikat burung - Utusan Malaysia

Lelaki maut, dua rakan cedera disambar petir ketika memikat burung

MOHD. ZAIN MAT DRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARANG: Seorang lelaki maut manakala dua rakannya cedera selepas disambar petir ketika memikat burung di Kampung Padang Tanjung, Bukit Payung, di sini, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6 petang itu, mangsa, Mohd. Hasan Mohd. Rani, 38, dari Kampung Surau Haji Mat Zin, Bukit Payung dekat sini maut di tempat kejadian.

Sementara itu, dua mangsa yang cedera terkena tempias panahan petir ialah Mohamad Fadilah Jusoh, 37, dari Kampung Gemuroh dan Abdul Hisyam Muhamad dari Kampung Paya Resak, dekat sini.

Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintenden Mohd. Zain Mat Dris berkata, sebelum kejadian tiga sekawan tersebut memikat burung, namun berhenti setelah hujan lebat serta ribut petir.

“Semua mangsa mencari tempat berlindung di bawah pokok berhampiran kawasan berkenaan sebelum tiba-tiba petir menyambar.

“Mohd. Hassan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan dua rakannya cedera terkena tempias panahan petir,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini.

Beliau memberitahu, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu dekat sini untuk bedah siasat.

Senentara itu, tambahnya, dua lagi mangsa yang cedera turut dibawa ke hospital sama untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya