Lelaki kasari pemandu wanita turut buat laporan polis - Utusan Malaysia

Lelaki kasari pemandu wanita turut buat laporan polis

TANGKAP layar kejadian seorang lelaki mengasari seorang pemandu wanita berhampiran Lata Iskandar dekat Tapah kelmarin yang tular dalam media sosial. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAPAH: Polis mengesahkan menerima laporan daripada lelaki yang ditangkap selepas mengasari seorang pemandu wanita dalam kejadian berhampiran Lata Iskandar di sini kelmarin.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintenden Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, lelaki berusia 29 tahun itu membuat laporan polis tersebut di Balai Polis Serdang, semalam.

“Berdasarkan laporan dibuat lelaki itu, dia mendakwa pemandu wanita cuba memotong keretanya namun gagal ekoran ada kenderaan lain di hadapan.

“Menurut lelaki terbabit, kereta dipandu wanita itu kemudian masuk semula ke laluannya hingga menyebabkan hampir bergesel dengan kereta Proton Persona dipandu lelaki itu,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, siasatan lanjut akan dijalankan berdasarkan laporan yang dibuat lelaki itu dan kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan selanjutnya.

Katanya, orang ramai yang melihat kejadian itu atau mempunyai maklumat diminta tampil bagi membantu siasatan polis.

“Mereka boleh hadir ke balai polis berhampiran atau menghubungi pegawai penyiasat kes, Asisten Superintenden Noor Irwan Abd Ghani di talian 017-3168097,” katanya.

Terdahulu, lelaki yang bekerja sebagai penyelia kilang yang ditangkap semalam telah direman tiga hari oleh Mahkamah Majistret Tapah mulai hari ini sehingga Jumaat depan bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Lelaki tersebut ditahan ekoran laporan polis dibuat wanita berusia 24 tahun itu di Balai Polis Saujana Utama, Sungai Buloh.

Berdasarkan rakaman video tular berdurasi 59 saat itu, lelaki terbabit dilihat turun dari kereta Proton Persona dan mengetuk cermin kereta dipandu wanita berkenaan.

Wanita itu yang menurunkan cermin keretanya untuk berbincang telah dimarahi oleh suspek dengan kata-kata kesat sebelum dia bertindak memukul kepala mangsa.

Difahamkan, kejadian berlaku kelmarin pada pukul 5.33 petang ketika mangsa dan adik lelakinya berusia 17 tahun dalam perjalanan turun dari Cameron Highlands menuju ke Tapah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya