Lapan ditahan seleweng 261,060kg baja subsidi

Lapan ditahan seleweng 261,060kg baja subsidi

BAJA subsidi yang dirampas di sebuah gudang kerana disyaki cuba diseleweng oleh lapan individu yang ditahan di Jalan Padang Hang, Alor Setar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Seramai lapan individu terdiri daripada enam warganegara tempatan dan dua warga asing berusia antara 18 hingga 57 tahun ditahan bagi membantu siasatan kes penyelewengan baja subsidi berjumlah 261,060 kilogram (kg), semalam.

Nilai rampasan baja tersebut dianggarkan sebanyak RM104,424, manakala anggaran jumlah rampasan keseluruhan adalah RM269,174.

Pengarah Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sarah Hidup (KPDN) Kedah, Affendi Rajini Kanth berkata, kesemua mereka dicekup di sebuah gudang di Jalan Padang Hang, di sini.

“KPDN Kedah menerima serahan kes tersebut daripada Pasukan Polis Marin (PPM) Langkawi yang membuat serbuan di lokasi terbabit kira-kira pukul 11 pagi.

“Hasil soal siasat mendapati premis berkenaan tidak memiliki sebarang kebenaran bertulis daripada pengawal bekalan berkaitan pemilikan barang kawalan berkenaan,” katanya di sini, hari ini.

Selain menyita baja terbabit, KPDN turut merampas sebuah lori, sebuah mesin jahit, sebuah alat timbang, empat jentera pengangkut dan satu ikatan plastik baja yang disyaki digunakan untuk tujuan penyelewengan.

Affendi berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 20 (1) Akta Kawalan Bekalan 1961 yang memperuntukkan denda tidak lebih RM1 juta atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali untuk kesalahan pertama bagi individu.

“Bagi kesalahan kedua, individu boleh didenda tidak lebih RM3 juta atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali. Manakala, pertubuhan perbadanan pula boleh didenda tidak lebih RM2 juta untuk kesalahan pertama dan RM5 juta untuk kesalahan kedua,” katanya. 

Menurutnya, KPDN tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati terlibat dalam sindiket dan aktiviti penyelewengan barang-barang kawalan sedemikian. 

“Tindakan tegas akan diambil termasuk mendakwa mereka di mahkamah berdasarkan peruntukan undang-undang di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) dan Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA) (Akta 613). 

“Jika disabitkan dengan kesalahan di bawah Akta 613, mereka yang terlibat boleh dipenjara tidak lebih 15 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan tersebut dilakukan atau RM5 juta, bergantung mana yang lebih tinggi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya