Lantikan kontrak ke tetap: KKM agih 1,825 pegawai perubatan ke fasiliti terjejas

Lantikan kontrak ke tetap: KKM agih 1,825 pegawai perubatan ke fasiliti terjejas

KKM perlu meyediakan insentif dan peluang kerjaya untuk memastikan doktor kekal berkhidmat dalam sektor awam. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan mengagihkan segera seramai 1,825 pegawai perubatan yang sudah menamatkan latihan siswazah ke fasiliti kesihatan terjejas ekoran penyerapan pegawai kontrak ke lantikan tetap.

Menterinya, Dr. Zaliha Mustafa berkata, jumlah itu melibatkan seramai 675 pegawai perubatan akan diagihkan mulai bulan depan, diikuti dengan 1,150 pegawai lagi pada Ogos depan.

Katanya, urusan seterusnya akan dilaksanakan sebaik sahaja pegawai menamatkan latihan atau khidmat wajib.

“Berdasarkan rekod KKM, seramai 3,226 pegawai perubatan akan menamatkan latihan siswazah atau khidmat wajib secara berperingkat mulai Jun hingga Disember depan.

“KKM sentiasa prihatin terhadap kelangsungan dan kesinambungan perkhidmatan di semua fasiliti kesihatan agar penyampaian perkhidmatan kesihatan dapat diberikan secara cekap dan berkesan demi kesejahteraan rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Zaliha, selaras dengan kekosongan jawatan pada tahun ini, seramai 4,914 pegawai perubatan, pegawai pergigian dan pegawai farmasi lantikan kontrak ditawarkan pelantikan tetap oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA).

Katanya, jumlah ini merangkumi seramai 4,263 pegawai perubatan, 335 pegawai pergigian dan sebanyak 316 pegawai farmasi.

Daripada jumlah ini, kata beliau, seramai 4,907 pegawai perubatan, pegawai pergigian dan pegawai farmasi lantikan kontrak melengkapkan urusan setuju terima melalui Sistem Tawaran Pelantikan Tetap (mySTP) SPA, manakala seramai tujuh pegawai perubatan menolak pelantikan tetap tersebut.

“Bagi memastikan pelaksanaan yang telus dan saksama, KKM memutuskan kesemua pegawai yang ditawarkan pelantikan tetap membuat pemilihan penempatan bertugas menerusi aplikasi eHousemen, eDentist dan ePharmacist mulai 6 hingga 8 Jun lalu.

“Pegawai perubatan pula membuat pemilihan penempatan secara berperingkat melalui aplikasi eHousemen serta mengikut lima fasa pelaksanaan mulai 9 Jun lalu dan proses pemilihan itu sudah memasuki Fasa 5 yang berakhir esok,” katanya.

Dalam pada itu, Zaliha memaklumkan, seramai 330 pegawai pergigian berjaya melengkapkan pemilihan penempatan, pegawai farmasi (308 orang) selain 3,405 pegawai perubatan.

Berdasarkan perjawatan yang disediakan bagi Fasa 1 hingga Fasa 4, katanya, kesemua jawatan tetap di Semenanjung Malaysia dipilih sepenuhnya, manakala masih terdapat kekosongan jawatan di Sabah dan Sarawak yang tidak dipilih oleh pegawai.

Oleh yang demikian, jelas beliau, kesemua kekosongan jawatan ini akan ditawarkan kepada calon simpanan.

“Dalam urusan pengambilan tetap pada kali ini, KKM menerima lebih 1,000 rayuan daripada pegawai untuk dikekalkan di penempatan semasa.

“Antara alasan yang diberikan adalah pegawai menghadapi masalah kesihatan diri dan keluarga; tidak bersetuju untuk berkhidmat di Sabah, Sarawak dan Labuan; penempatan menyebabkan pegawai terpaksa tinggal berjauhan dengan pasangan dan pegawai akan atau memulakan pengajian kepakaran,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya