YAKIN lagu berunsurkan ketuhanan masih mendapat tempat serta mempunyai pasaran peminat tersendiri, komposer dan penulis lirik, Ikhwan Fatanna, 33, tidak serik menghasilkan genre lagu berkenaan.
Ikhwan yang banyak menghasilkan lagu untuk artis tempatan berkata, penerimaan setiap lagu yang dihasilkan adalah subjektif dan terpulang kepada citarasa pendengar.
“Walaupun pasarannya tak besar seperti arus perdana, tetapi masih ada pendengar yang mahu lagu itu.
“Saya perlu buat dan meneruskan karya lagu Islamik dan ketuhanan sebab nama saya naik juga melalui lagu Bismillah.
“Selepas itu, baru saya buat lagu untuk artis lain. Sayang juga hendak tinggalkan karya lagu Islamik,” katanya yang sudah menulis lebih 30 judul lagu.
Sejak berkecimpung dalam industri muzik pada 2017, Ikhwan berkata, dia teruja menghasilkan lagu dalam pelbagai genre melibatkan ramai artis ternama.
Katanya, syarikat rakaman Nova Music banyak membantu menaikkan namanya sehingga karya yang dihasilkan pernah meloloskan diri ke Anugerah Juara Lagu (AJL).
“Ada lagu ketuhanan, cinta dan patah hati. Mungkin pendengar suka komposisi lagu cinta yang saya buat.
“Omar K banyak bantu saya. Pernah juga belajar daripada Audi Mok. Sedikit demi sedikit saya belajar daripada mereka,” katanya yang berbakat bermain piano dan gitar.
Ikhwan pernah menghasilkan lagu untuk penyanyi terkenal seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza,Datuk Awie, Hafiz Suip, Ernie Zakri, Siti Nordiana, Haqiem Rusli dan ramai lagi.
TREND TULIS LAGU SENDIRI
Disoal trend artis baharu yang lebih gemar menghasilkan lagu sendiri berbanding mencari komposer, Ikhwan berkata, dia meraikan suasana sihat sedemikian.
Namun, katanya, tidak dinafikan ada penyanyi yang gagal dan lagu yang dihasilkan kurang menyerlah.
“Ada yang belum sampai tahap boleh menulis lagu dengan baik. Tulis lagu tapi tak menjadi. Ada tekniknya yang mungkin mereka tidak tahu, jadi lebih baik berjumpa komposer.
“Aina Abdul adalah contoh penyanyi yang boleh menulis lagu dengan baik dan kebolehannya tidak boleh disangkal lagi,” katanya.
Ikhwan berkata, trend tersebut juga didorong oleh faktor bayaran royalti yang akan diterima secara berterusan selepas bergelar komposer.
“Ia juga sebab royalti. Kalau sekadar menyanyi, dapatlah royalti sebagai penyanyi. Kalau tulis lagu dapat royalti sebagai komposer.
“Royalti juga adalah pendapatan untuk anak seni sebab industri muzik ini ada tempoh masanya sendiri. Kita pun tidak tahu sampai bila boleh bertahan sebagai artis,” jelasnya.