KUALA LUMPUR: Pasangan adik beradik, Kuza dan Kunie diarahkan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini untuk memfailkan pembelaan terhadap saman yang difailkan bekas abang ipar yang juga Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Wilayah, Datuk Rizalman Mokhtar.
Menurut peguam, Aizul Rohan Anuar yang mewakili Kuza atau nama sebenarnya Tengku Sariza Tengku Mohd. Muzani dan adiknya, Kunie atau nama sebenarnya, Tengku Sariwani selaku defendan, arahan tersebut diberikan Hakim Azian Othman pada pengurusan kes itu hari ini.
“Mahkamah mengarahkan agar pembelaan itu difailkan sebelum atau pada 5 Julai ini. Kes ditetapkan untuk pengurusan kes pada 21 Julai ini,” katanya ketika dihubungi media selepas prosiding tersebut.
Sementara itu, peguam Datuk Adnan Seman yang mewakili Rizalman dan juga anaknya, Nik Muhammad Hakimi yang juga plaintif dalam tindakan saman itu mengesahkan perkara tersebut.
Katanya, mahkamah turut mengarahkan pihak plaintif untuk memfailkan afidavit balasan terhadap pembelaan yang difailkan defendan pada 20 Julai ini.
Pada 8 April lalu, Rizalman, 51, yang juga Ketua UMNO Bahagian Bandar Tun Razak bersama-sama anak lelakinya, Nik Muhammad Hakimi, 27, memfailkan saman terhadap Kuza dan Kunie yang mendakwa kakak mereka yang juga seorang pelakon tidak dibenarkan bergambar dengan tetamu kehormat sewaktu majlis perkahwinan anaknya kerana berstatus janda.
Menurut penyataan tuntutan yang difailkan, Rizalman dan Nik Muhammad Hakimi mendakwa dua beradik itu (Kuza dan Kunie) telah mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah terhadap mereka melalui laman sosial Instagram dan TikTok sekitar Februari lalu.
Kenyataan yang dikatakan fitnah itu dikatakan berkaitan dengan pelakon, Tengku Sarina Tengku Mohd. Muzani atau Kuna pada majlis perkahwinan Nik Muhammad Hakimi yang merupakan anak kepada Rizalman dan Kuna sebelum pasangan itu bercerai sekitar 2001.
Menurut penyataan tersebut, satu raptai majlis persandingan telah diadakan pada 16 Februari lalu memandangkan tetamu jemputan kehormat majlis tersebut turut melibatkan Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong.
Pada majlis raptai tersebut, Kuna turut dijemput untuk persiapan majlis bagaimanapun selepas majlis raptai selesai, pihak pengantin lelaki dan perempuan dimaklumkan oleh pihak Istana Negara bahawa hanya dua wakil bagi setiap keluarga dibenarkan untuk berada di dalam bilik menunggu yang menempatkan pasangan diraja itu bagi tujuan bergambar.
“Plaintif pertama (Rizalman) telah memilih untuk hadir dengan isterinya, Datin Syazlina Bahardin dan plaintif kedua (Nik Muhammad Hakimi) terpaksa memaklumkan ibu kandungnya, Kuna bahawa Kuna tidak boleh hadir bersama dengannya ke bilik menunggu bagi mengelakkan percanggahan protokol ditetapkan oleh Istana Negara.
“Apatah lagi ia bukan majlis sebelah plaintif sebaliknya adalah majlis belah pengantin perempuan. Selepas plaintif kedua memohon maaf sebagai tanda hormat dan memaklumkan perkara tersebut, Kuna memberitahu plaintif kedua melalui nota suara WhatsApp bahawa beliau terima ketetapan majlis belah perempuan tersebut dan tiada sebarang masalah atau pertikaian timbul pada malam 16 Februari lalu,” ujar penyataan tuntutan tersebut.
Sungguhpun begitu, pada majlis-majlis yang diadakan 17 hingga 19 Februari lalu, Kuna ditempatkan semeja dengan Rizalman dan isterinya yang turut menempatkan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan dan isteri; Timbalan Menteri Pertahanan bersama isterinya dan beberapa kenamaan lain.
Kedua-dua defendan, Kuza dan Kunie juga hadir dan ditempatkan di meja kenamaan serta diberi layanan istimewa selaku keluarga terdekat plaintif kedua.
Bagaimanapun pada 26 Februari lalu, Kunie didakwa telah mengeluarkan kenyataan di Instagram miliknya mempertikaikan mengapa kakaknya, Kuna tidak dibenarkan berada di bilik menunggu bersama-sama kenamaan lain dan mendakwa kejadian itu berlaku kerana pelakon itu berstatus janda.
Rizalman dan anaknya, Nik Muhammad Hakimi memohon perintah injunksi dikenakan terhadap Kuza dan Kunie bagi menghalang mereka atau ejen-ejen dua beradik itu mengeluarkan atau menerbitkan semula kenyataan fitnah itu dalam apa jua bentuk dan medium. – UTUSAN