Kumpulan pemandu kereta mewah hadang jalan atas jambatan kedua Pulau Pinang disaman - Utusan Malaysia

Kumpulan pemandu kereta mewah hadang jalan atas jambatan kedua Pulau Pinang disaman

TANGKAP layar video yang tular dalam laman TikTok mengenai deretan kereta mewah yang didakwa dipandu perlahan dan menghalang lalu lintas di atas jambatan kedua Pulau Pinang sejak kelmarin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

BATU KAWAN: Kesemua pemandu kereta mewah yang didakwa memandu perlahan dan menghalang lalu lintas di atas Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah (JSAHMS) atau jambatan kedua Pulau Pinang seperti yang tular dalam satu rakaman video sejak kelmarin telah disaman.

Perkara itu disahkan oleh Timbalan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), Deputi Superintenden Mohd. Norazmi Abd. Ghapar dalam kenyataan di sini hari ini.

Terdahulu, katanya, rakaman video berdurasi kira-kira dua minit dan 50 saat itu telah dimuat naik ke dalam akaun Tik Tok milik seorang pengguna atas nama ‘panglimaperang’ kira-kira pukul 9 malam kelmarin.

Beliau berkata, rakaman itu menunjukkan deretan kereta mewah dipandu secara perlahan dan menghalang lalu lintas seperti yang didakwa.

“Siasatan lanjut mendapati, kejadian berlaku pada 9 Jun (Jumaat) kira-kira pukul 12.30 tengah hari bermula dari KM (Kilometer) 3.8 dari arah Batu Kawan sehingga KM9.0 arah ke Batu Maung.

“Polis mengesahkan telah menerima laporan mengenai kejadian tersebut dan kertas siasatan juga telah dibuka di bawah Kaedah Lalu Lintas 1959 iaitu Kaedah 16 (1) LN 167/59 kerana melakukan halangan lalu lintas,” katanya.

Bagaimanapun, kata Mohd. Norazmi, kira-kira pukul 12.10 tengah malam semalam, kesemua pemandu berkenaan telah hadir ke ibu pejabat polis daerah (IPD) SPS untuk memberikan keterangan dan telah dikenakan saman.

“Dalam hal ini, polis sama sekali tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melakukan kesalahan lalu lintas.

“Masyarakat juga diminta supaya sentiasa mematuhi peraturan jalan raya dan melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya terdapat mana-mana pihak yang melakukan kesalahan lalu lintas di atas jalan raya,” ujar beliau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya