SAYA tidak cenderung membuat penilaian teknikal apabila menilai festival muzik. Sistem bunyi, lokasi pentas, permainan lampu: semuanya penting tetapi ia bukan yang utama.
Saya lebih suka melihat bagaimana otak penganjur-penganjur festival bergerak menyusun kandungan bagi mendatangkan pengalaman berharga kepada pengunjung.
Ia akan terlihat pada kepelbagaian aktiviti dan pemilihan bakat muzik yang mahu ditampilkan.
Penganjur perlu sarung kasut dan topi pengunjung, menyulam pengalaman demi pengalaman yang akan dirasai pengunjung. Susunan aktiviti dan bakat muzik yang baik akan membuatkan pengunjung pulang dengan rasa penuh dan puas.
Susunan dan pemilihan kandungan ini yang dinamakan sebagai kurasi dan kurasi – dari segi idea dan pelaksanaan – ialah faktor terpenting yang menentukan gagal-jaya sesebuah festival.
PANAS DAN TANDAS
Bagaimana pengalaman saya menjadi pengunjung Lost Valley Gathering 2023 di Fraser Valley, Kuala Kubu Bharu? Kalau mahu mula dengan yang buruk, kebanyakannya pada faktor-faktor yang sukar dikawal penganjur.
Pertama, cuaca panas yang sememangnya sudah ditentukan oleh alam. Pergerakan pada waktu siang terasa perit kerana bahang matahari yang menikam-nikam.
Dari pagi sampai ke awal petang, saya memang tak ke pentas utama, kecuali sekali sekadar untuk tahu apa yang ada (persembahan belum mula waktu ini).
Pentas agak jauh dari tapak perkhemahan. Untuk sampai ke sana, anda perlu lalu barisan gerai yang dinamakan sebagai Lost Market dan pentas kecil bernama Lost Stage. Kalau azam tak kuat, anda akan habiskan masa di Lost Market dan Lost Stage saja.
Di Lost Stage ada beberapa persembahan. Sounds of Kites, Mily dan Tahvole memperaga bakat di situ.
Satu lagi kesukaran saya ialah mencari tandas. Di tapak khemah umum dan Lost Market, hanya ada tiga tandas disediakan. Dengan jumlah pengunjung kira-kira 500 orang, memang ramailah yang terpaksa beratur tunggu giliran masuk tandas.
Pengalaman di waktu siang agak sukar, sebahagian besarnya kerana cuaca yang panas. Namun, ia masih okay. Saya lebih banyak bersama rakan dari Gedegang! yang diberi peluang menemu bual beberapa bakat muzik di kawasan Lost Market. Lewat petang sikit baru saya menjenguk ke pentas utama.
KEMUNCAK KEPUASAN
Saya terlepas lima persembahan pertama di pentas utama kerana membantu Gedegang! dan, maafkan fizikal saya yang lembik, tak larat. Tetapi saya sangat gembira masih dapat nikmati dua kugiran terakhir di sesi siang, iaitu Nadarasa dan Note Void.
Saya melihat pentas utama di waktu siang sebagai pentas penerokaan. Boleh dikatakan bakat-bakat yang dipersembahkan datang dari lapangan-lapangan kecil yang niche. Peminat Nadarasa mungkin tak kenal kugiran lain, jadi mereka meneroka, contohnya.
Yang penting, dari pemerhatian dan sembang-sembang dengan rakan, kesemuanya kugiran yang unik dan bagus. Masing-masing punya kelompok peminat setia yang kecil; muzik mereka tidak dituju pada peminat massa.
Bakat pada waktu malam lebih popular, kecuali seorang gadis muda yang menggunakan nama Faux Goth. Dia tampil berani berseorangan ditemani rentak hyperpop yang menggoncang tubuh penonton.
“Shelhiel hyperpop yang sweet, Faux Goth comel,” begitu penjelasan rakan saya, Zim Ahmadi terhadap gadis 19 tahun itu.
A. Limin yang membuka pentas sesi malam. Mereka bermula dengan lagu baharu yang belum diterbitkan, Sekadar Kita Merindu. Persembahan mereka berlangsung baik walaupun set dipotong satu lagu.
Saya masih belum jumpa kepuasan penuh menonton A. Limin secara live, termasuk ketika Lost Valley ini. Interaksi Limin dengan penonton kadang-kadang janggal dan bunyi yang mereka persembahkan belum cukup menerujakan. Mendengar versi rakaman lebih memuaskan.
Selepas A. Limin dan Faux Goth, ceritanya sudah lain. Bayangan, Viona dan Capt’n Trips & The Kid tampil cemerlang dengan dinamik menaik.
Sedikit kecewa kerana Bayangan tidak tampil bersama kugirannya tetapi sosok Fikri Fadzil bersama gitarnya sudah cukup kuat. Mungkin ini yang dimaksudkan Azmyl Yunor tentang kekuatan folk: suara satu orang. Bayangan memukau.
Viona pula tampil dengan gembira dan bersemangat. Ini persembahan Viona paling mantap pernah saya saksikan.
Saya tidak peduli pada pembesar suara sebelah kanan yang kadang-kala pecah bunyinya. Saya fokus pada nyanyian dan lirik seluruh EP D.I.V.O.R.C.E yang dipersembahkan.
Sebelum dopamina penonton digoncang dengan putaran lagu-lagu nostalgik oleh S4DKL, Capt’n Trips & The Kid mengambil tempat di pentas. Dan ia magikal.
Kugiran ini tahu kekuatan mereka. Mereka faham bagaimana alunan psikedelik yang disuntik keterujaan funk boleh merasuk penonton di ruang terbuka pada waktu malam. Magikal.
KURASI BERANI
Tabik tinggi saya hadiahkan kepada pasukan penganjur Lost Valley Gathering 2023 kerana kekuatan kurasi mereka. Bakat-bakat unik yang ditampilkan pada sebelah siang sangat menarik. Ini yang jadi bila kita tolak tepi dahulu faktor populariti, utamakan kualiti dan kelainan.
Yang popular tetap perlu ada, seperti barisan bakat pada sesi malam. Yang penting, perlu bijak dan adil. Kalau barisan kugiran pada waktu malam sudah cukup kuat untuk menarik pengunjung, manfaatkan ruang sebelah siang untuk kugiran unik yang tidak begitu diteroka.
Dan keberanian mereka meletakkan Capt’n Trips & The Kids sebagai kugiran terakhir sangat-sangat saya kagumi. Kugiran ini sudah dikenali dan semua yang kenal tahu, mereka ada ‘barang’ untuk jadi headline festival. Cuma banyak penganjur yang lebih selesa memilih nama popular lain.
Kalau mahu saya simpulkan pandangan tentang Lost Valley Gathering 2023, saya letak perkataan kurasi sahaja. Mereka cemerlang dari sisi itu. Semoga ada Lost Valley seterusnya dengan kurasi yang lebih mantap.