Kuala Perlis berpotensi jadi hab dan selenggara kapal mewah -MB - Utusan Malaysia

Kuala Perlis berpotensi jadi hab dan selenggara kapal mewah -MB

KAPAL mewah Adastra memulakan pelayaran selepas selesai menjalani proses penyelenggaraan dan penambahbaikan bahagian dalaman di Perlis Marine Engineering (PME), Kuala Perlis, Perlis hari ini. -UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Kuala Perlis amat berpotensi bagi dijadikan sebagai hab kapal mewah berlabuh dan penyelengaraan kapal-kapal mewah tersebut yang mampu membawa pulangan kepada kerajaan negeri.

Ini terbukti apabila sebuah syarikat yang berpangkalan di negeri ini, AUE Marin sebelum ini berjaya menguruskan perkhidmatan penyelenggaraan dan penambahbaikan bahagian dalaman sebuah kapal mewah dikenali sebagai Adastra.

Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli berkata, kejayaan syarikat berkenaan dalam melengkapkan penambahbaikan kapal mewah tersebut membuktikan bahawa negeri ini mampu mengembangkan sektor berkenaan secara meluas pada masa hadapan.

“Sebelum ini ramai pihak beranggapan kawasan ini tidak sesuai untuk kapal-kapal mewah diparkir sementara untuk tujuan penyelenggaraan di Perlis Marine Engineering (PME) disebabkan beberapa kekangan antaranya membabitkan ketinggian Jambatan Tuanku Syed Putra yang rendah.

“Namun saya dapat sendiri lihat tiada masalah yang timbul kerana ketinggian jambatan itu juga tidak menghalang laluan untuk kapal-kapal mewah masuk ke sini,” katanya selepas turun padang bagi meninjau pelepasan kapal mewah Adastra yang selesai ditambah baik di PME Kuala Perlis di sini hari ini.

Kapal mewah Adastra sebelum ini ditempatkan di PME bagi menjalani proses penyelengaraan dan penambahbaikan bahagian dalaman bermula sejak Ogos tahun lalu.

Kehadiran kapal mewah berkenaan yang mempunyai reka bentuk unik di perairan Kuala Perlis telah menarik perhatian penduduk setempat sekitar kawasan berkenaan.

Dalam pada itu, Mohd. Shukri berkata, kerajaan negeri juga dapat menjana hasil menerusi caj parkir di bawah pengurusan PME sekiranya kapal-kapal mewah lain dapat diselenggara dan ditambah baik di Perlis.

“Kawasan ini dapat menjadi hab parkir kapal-kapal mewah khususnya jika perkhidmatan berkenaan penuh di Pulau Langkawi dan Kuala Kedah.

“Melalui caj parkir ini, ia merupakan cara mudah untuk PME menjana keuntungan memandangkan pelaksanannya amat berpotensi dan menjanjikan pulangan yang lebih baik,” katanya.

Bagi mencapai tujuan itu, Mohd. Shukri berkata, pihaknya akan mengadakan pertemuan bersama PME untuk membincangkan secara lanjut kekangan-kekangan yang perlu di atasi dalam memantapkan lagi pengurusan kapal-kapal mewah selepas ini.

“Kita juga akan lihat semula kemudahan-kemudahan asas di PME ini untuk ditambah baik bagi menjadikan kawasan ini sebagai hab untuk parkir dan penyelengaraan kapal mewah,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya