KPT laksana pembelajaran secara hibrid, anjal

KPT laksana pembelajaran secara hibrid, anjal

MOHAMAD Khaled Nordin (tengah) melakukan gimik pelancaran Program Asasi TVET sempena majlis penutupan Jom Masuk U di Dewan Tunku Canselor Universiti Malaya, Kuala Lumpur, hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bakal memperkenalkan sistem pembelajaran secara hibrid dan ajal untuk setiap mahasiswa sebagai salah satu inisiatif dalam membantu kumpulan tersebut daripada terus terbeban dengan kos pengajian, selain memberi mereka ruang yang fleksibel.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pembelajaran secara hibrid dan jadual anjal ini akan membolehkan para pelajar menghadiri kuliah di universiti hanya pada tahun pertama serta akhir sahaja, bagi pertengahan pengajian pelajar diberi pilihan menentukan sendiri.

Menurut beliau, sebanyak 95 program Ijazah Sarjana Muda daripada 19 universiti awam bersedia melaksanakan pembelajaran anjal bermula dengan kemasukan sesi akademik bagi 2023/2024.

“Maksudnya, mahasiswa boleh menghadiri kuliah secara dalam talian sahaja. Melalui, inisiatif ini, mereka boleh menyusun aktiviti dengan lebih fleksibel.

“Ia juga akan memberi beberapa kelebihan seperti dapat mengurangkan jumlah pinjaman dan kos pendidikan, membuka ruang untuk mahasiswa bekerja atau melakukan perkara-perkara yang memerlukan mereka untuk tidak berada di kampus,” katanya semasa berucap majlis penutupan Jom Masuk U di Dewan Tunku Canselor Universiti Malaya (UM), di sini hari ini.

Setakat ini program Jom Masuk U mendapat penyertaan lebih 50,000 sejak ia dianjurkan dan dijangka mencapai sasaran sebanyak 60,000 pada hari terakhirnya.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, kos lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk menyambung pengajian ke peringkat tinggi boleh mencecah antara RM50,000 hingga RM78,000 bagi setiap orang.

Jumlah itu meliputi purata kos yuran, penginapan, belanja harian dan kelengkapan diri selama tiga hingga empat tahun pengajian di peringkat sarjana muda sama ada bidang sastera mahupun sains.

Purata perbelanjaan yuran dan penginapan di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) berjumlah antara RM1,500 ke RM2,500 bagi setiap semester, manakala antara RM40,000 ke RM60,000 bagi keseluruhan yuran di Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS).

Mohamed Khaled berkata, dalam usaha membantu para pelajar yang kini berdepan dengan kos pengajian, KPT juga akan memendekkan tempoh pengajian bagi sesetengah program daripada empat tahun kepada hanya tiga tahun sahaja.

Jelasnya, setakat ini sudah sebanyak 44 program pengajian dari sembilan IPT sudah dikenal pasti untuk dipendekkan tempoh pengajiannya.

“KPT sentiasa mengemas kini program dan jurusan yang ditawarkan oleh IPT di seluruh negara. Kita mahu program dan jurusan tersebut disusun dengan cara terbaik serta menguntungkan semua pihak.

“Pendekkan tempoh pembelajaran ini akan boleh mengurangkan jumlah pinjaman dan kos pengajian yang perlu ditanggung. Pada masa sama, ia membuka peluang untuk graduan memasuki pasaran kerja setahun lebih awal,” katanya.

Tambahnya, inisiatif-inisiatif tersebut juga dijangka mampu menarik minat untuk lepasan SPM melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya