SHAH ALAM: Kementerian Pendidikan (KPM) menambah baik pembelajaran peringkat tingkatan 6 bagi mewujudkan suasana seperti dalam kampus bersesuaian dengan tahap pendidikan itu sebagai pra-universiti.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, perubahan yang sedang dilaksanakan itu selaras dengan saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu pelajar peringkat itu diberikan lebih banyak ruang dan kebebasan dalam pembelajaran.
“Perhatian sentiasa diberikan dalam konteks hala tuju tingkatan 6 termasuk kekuatan subjek dan fasiliti serta infrastruktur memandangkan mereka bukan dalam lingkungan sekolah lagi.
“Kita mempunyai tiga mod tingkatan 6 dan sedang memperkemaskan ke arah mod 1 daripada mod tiga sebelum ini iaitu kolej tingkatan 6 dalam memartabatkan dan meningkatkan hala tuju tahap pendidikan itu,” katanya ketika ditemui pemberita selepas perasmian pecah tanah Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Regent Elmina, hari ini.
SJK (C) itu ditubuhkan pada 60 tahun lalu di Ladang Regent Gemencheh, Negeri Sembilan dan dikategorikan sekolah kurang murid sebelum diluluskan pembinaannya ke bandar Elmina.
Pembinaan dijangka siap pada Mac 2025 dengan pengambilan pelajar bermula tahun 2026.
Dalam pada itu, beliau memberitahu kementeriannya turut berusaha menyelesaikan masalah kepadatan sekolah di negeri ini yang jumlah muridnya semakin meningkat seiring peningkatan jumlah penduduk.
“Jadi, memang kita punya tumpuan untuk Selangor ini lebih sikit bagi memastikan sekolah cukup di negeri ini.
“Kepadatan dapat disuraikan dengan pembinaan sekolah-sekolah yang dapat atasi isu kesesakan pelajar dalam sekolah,” ujarnya.
Justeru, kata Fadhlina lagi pembinaan sekolah harus difokuskan untuk pembangunan dan pendidikan anak-anak berbandingnya menjadikannya sebagai satu isu perbalahan antara mana-mana pihak. – UTUSAN