KPKT salur RM211.4 juta untuk Pulau Pinang - Utusan Malaysia

KPKT salur RM211.4 juta untuk Pulau Pinang

NGA Kor Ming (tengah) pada majlis penyerahan peruntukan TPPM dan PPP di George Town, Pulau Pinang hari ini. - Pic IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) meluluskan peruntukan sebanyak RM211.405 juta bagi menaik taraf infrastruktur awam serta membina 1,000 unit Program Perumahan Rakyat (PPR) di negeri ini.

Menterinya, Nga Kor Ming berkata, peruntukan dana melibatkan 41 projek termasuk dua projek PPR bernilai RM200 juta di bahagian pulau dan Seberang Perai itu merupakan sentuhan ‘kasih sayang’ Kerajaan Pusat kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

”Peruntukan berjumlah RM211.405 juta menerusi 41 projek di Pulau Pinang adalah peruntukan paling besar yang pernah diberikan kepada Pulau Pinang.

“Sebelum ini, Pulau Pinang dianaktirikan, namun di bawah Kerajaan Madani, saya jamin tidak akan berlaku perkara sedemikan, tidak ada negeri yang akan dianaktirikan, kita akan berlaku adil dan saksama kepada semua negeri,” katanya dalam sidang akhbar di Dewan Bandaraya Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), di sini hari ini.

Terdahulu, Kor Ming menyempurnakan majlis penyerahan peruntukan Tabung Penyelenggaran Perumahan Malaysia (TPPM) dan Program Penyenggaraan Perumahan (PPP).

Mengulas lanjut, Kor Ming berkata, beliau memuji tindakan Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang telah menyediakan tapak tanah di Jelutong dan Kepala Batas secara percuma kepada KPKT untuk pembinaan rumah PPR.

”Sebelum ini, Pulau Pinang mempunyai empat buah PPR dengan 999 unit rumah, dengan peruntukan dua projek terbaharu dengan 1,000 unit rumah, ia membantu meningkatkan jumlah unit PPR di negeri ini sebanyak 100 peratus,” katanya.

Tambahnya, KPKT juga telah meluluskan sebanyak RM9.62 juta kepada Pulau Pinang bagi peruntukan penyelenggaraan di bawah tabung Program Penyenggaraan Perumahan (PPP) dan Tabung Penyelenggaraan Perumahan Malaysia (TPPM) bagi 2023.

Jelasnya, KPKT juga telah meluluskan peruntukan RM1 juta untuk tujuan baik pulih medan selera di Taman Tun Sardon dekat sini selain peruntukan berjumlah RM785,000 untuk projek Mykiosk di negeri ini.

Dalam pada itu, Kor Ming menafikan peruntukan tersebut disalurkan kepada Pulau Pinang untuk meraih undi rakyat negeri itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN).

“Saya pernah datang ke Pulau Pinang pada Februari dan umumkan peruntukan RM40 juta untuk negeri ini.

“Kita yakin rakyat negeri ini akan mengundi kerajaan negeri yang selari dengan Kerajaan Madani kerana adalah penting kita sehaluan untuk kekalkan kestabilan politik,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya