KPDN arah tingkat bekalan gula pada musim perayaan  - Utusan Malaysia

KPDN arah tingkat bekalan gula pada musim perayaan 

Bekalan gula
SALAHUDDIN Ayub melawat kilang pembuatan gula CSR di Central Sugars Refinery Sdn. Bhd., di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Pengusaha-pengusaha industri gula di negara ini digesa meningkatkan pengeluaran bahan makanan itu menjelang Hari Raya Aidiladha bagi mengatasi masalah kekurangan bekalan seperti yang berlaku seperti di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Kedah sebelum ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, pengusaha terlibat termasuklah Central Sugars Refinery Sdn. Bhd. (CSR) dan Kumpulan MSM Malaysia Holdings Berhad, yang diharap dapat berbuat demikian.

“Menjelang Hari Raya Aidiladha tahun ini kita memastikan bekalan gula tidak terganggu. Mungkin bekalan gula boleh ditingkatkan contohnya 10,000 tan metrik di Johor atau 13,000 tan di Kelantan oleh pihak industri,” katanya, hari ini.

Terdahulu, beliau melawat kilang gula CSR bagi meninjau operasi syarikat tersebut termasuk mengenalpasti masalah operasi yang timbul untuk diatasi secara tuntas.

Sebelum ini KPDN melancarkan Operasi (Op) Manis bagi mengatasi gangguan bekalan gula melibatkan empat negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang dan Kedah dari 3 Mei sehingga 4 Jun lalu.

Kemudian Op Manis 2.0 dilancarkan semalam melibatkan operasi ke seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak hingga 30 Jun ini.

Operasi tersebut dilakukan rentetan aduan kekurangan bekalan diterima KPDN di empat negeri tersebut bermula 23 Mac lalu iaitu pada permulaan Ramadan dan masalah tersebut meruncing menjelang sambutan Aidilfitri pada 22 April lalu.

Dalam pada itu, Salahuddin meminta orang ramai untuk terus memberi kerjasama dengan melaporkan kepada KPDN jika terdapat sebarang kekurangan bekalan gula di mana-mana premis.

“Hantar gambar dan lokasi kedai mana yang tiada bekalan gula itu dan pihak kami akan segera bertindak untuk mendapatkan penjelasan daripada pemborong  dan pemilik kedai berkenaan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya