PETALING JAYA: Koperasi Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia (Koop Sahabat) Berhad hari ini mengumumkan agihan keuntungan sebanyak 10 peratus atau RM6.5 juta kepada 452,728 anggotanya bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022, berbanding 5.8 Juta pada 2021.
Koop Sahabat juga mencatatkan keuntungan sebelum cukai berjumlah RM12.6 juta, melonjak 25 peratus berbanding RM10.1 juta pada 2021.
Pengerusi Koop Sahabat, Mohd Najib Mohd Noor berkata, prestasi itu merupakan komitmen Koop Sahabat dalam menjaga kebajikan anggotanya yang merupakan usahawan wanita dalam kalangan B40 disamping dapat memberi keyakinan yang kukuh kepada bakal anggota daripada kalangan Sahabat Usahawan AIM.
“Kami percaya perniagaan Koop Sahabat yang kini meliputi perniagaan dalam Perkhidmatan Kewangan seperti Ar Rahnu, Pembangunan Hartanah, Pelaburan Korporat, Pelaburan Strategik serta pelaburan di dalam ekuiti awam akan terus berkembang dengan sokongan daripada anggotanya,”, katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Koop Sahabat juga melancarkan produk i-Gold Personal Account (i-GPA) iaitu produk emas digital patuh syariah dengan kerjasama KAB Goldynamic Sdn. Bhd. yang mampu membantu serta mengukuhkan kewangan masyarakat dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu.
Mohd. Najib menambah, i-GPA memberi peluang kepada semua anggota masyarakat untuk memiliki simpanan emas digital mereka sendiri dan boleh ditukar kepada emas fizikal apabila simpanan telah mencukupi.
“i-GPA merupakan kaedah terbaharu kepada pekerja gig dan anak-anak anggota koperasi untuk membuat tabungan masa hadapan dengan memiliki emas dalam bentuk digital bagi membina dana kecemasan.
“Pembelian emas digital serendah RM 10, melayakkan anggota dan anak-anak anggota serta pengguna untuk memiliki simpanan mereka,” jelasnya. – UTUSAN