PETALING JAYA: Penyanyi, Tomok dan rakan artis, Akim, Hazama dan Black membuat laporan polis berhubung status penangguhan Konsert 4G’s yang sepatutnya berlangsung tiga tahun lalu.
Tomok yang mewakili tiga rakan artis itu juga menggesa pihak penganjur untuk segera menyelesaikan kemelut tersebut selepas pembeli tiket menyuarakan pertanyaan berhubung status konsert tersebut.
Dalam pada masa yang sama, vokalis kumpulan New Boyz itu juga mahu pihak penganjur tampil membuat penjelasan supaya tiada salah faham dalam kalangan peminat.
“Ramai yang bertanya tentang status Konsert 4G’s, sama ada jadi atau tak jadi. Sebenarnya, kami pun tiada jawapan.
“Jadi kami ambil keputusan buat laporan polis berkenaan hal ini sebab ramai yang sudah dapatkan tiket.
“Jika konsert ini tak dijalankan, pihak penganjur harus pulangkan kembali duit pembeli. Kami harap pihak penganjur dapat selesaikan hal ini secepat mungkin,” ujarnya menerusi satu hantaran di Instagram.
Dalam pada itu, Tomok dan rakan artis lain turut menasihatkan pembeli tiket konsert tersebut untuk membuat laporan polis.
“Kami baru sahaja buat report (laporan) di Balai Polis Damansara tentang Konsert 4G’s yang telah sekian lama tertangguh.
“Kami ingin memohon maaf kepada semua peminat dan pembeli. Anda juga boleh membuat laporan polis di mana-mana sahaja balai berdekatan.
“Kita harap perkara ini dapat diselesaikan dengan secepat mungkin. Kami dah jalankan tanggungjawab kami, jadi harap anda juga dapat menjalankan tanggungjawab anda,” katanya.
Konsert 4G’s sepatutnya berlangsung pada 17 dan 18 April 2020 di Istana Budaya, namun ditangguhkan ke tarikh 11 dan 12 Disember tahun yang sama.
Namun sehingga kini, konsert tersebut masih tiada perkembangan.