Komplot tipu tuntutan insurans kemalangan kereta - Utusan Malaysia

Komplot tipu tuntutan insurans kemalangan kereta

Insurans
HAMIDAH Buang, (depan) didakwa atas tuduhan bersubahat bersama seorang peniaga dan pemandu JKKN Selangor, mengenai tuntutan insurans kemalangan sebuah kenderaan milik seorang wanita, dua tahun lalu, di Mahkamah Sesyen, Shah Alam, Selangor. - UTUSAN / SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Tindakan menipu dalam tuntutan insurans kemalangan jalan raya berjumlah RM4988.19 membawa padah apabila tiga termasuk seorang kakitangan awam dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, hari ini.

Bagaimanapun, kesemua tertuduh iaitu Hamidah Buang, 40, Erhanhazwan Hasim, 38 dan Ali Mochammad, 35, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh

Berdasarkan pertuduhan, Hamidah yang merupakan pemilik bengkel kereta memperdaya seorang ejen sebuah syarikat insurans mengenai borang laporan kemalangan kenderaan seorang wanita berjumlah RM4.899.19 dengan mengemukakan butir matan palsu termasuk borang itu ditandatangani sendiri. 

Manakala Erhanhazwan yang merupakan pemandu Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Selangor bersama Ali yang bekerja sebagai peniaga bersubahat dengan Hamidah untuk tujuan sama.

Perbuatan tersebut dilakukan kesemua tertuduh dekat sebuah premis di Batu 16 Jalan Ipoh, Gombak pada 9 Mac 2021.

Justeru, mereka didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 Akta yang sama iaitu penjara hingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Muaz Ahmad Khairuddin sementara Hamidah diwakili Peguam Shalehuddin Salam. Dua lagi tertuduh iaitu Erhanhazwan dan Ali pula tidak diwakili peguam.

Rozilah kemudian menetapkan jaminan masing-masing RM4,000 dan RM5,000 bersama seorang penjamin dan syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di pejabat SPRM pada awal setiap bulan.

Sebutan semula kes bagi semua tertuduh ditetapkan 26 Julai depan – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN