PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan menjalankan satu kajian baharu pada tahun ini untuk menyemak semula keperluan sebenar negara bagi pelbagai kategori sumber manusia untuk kesihatan.
Menterinya, Dr. Zaliha Mustafa berkata, kajian ini akan mengambil kira impak polisi baharu yang diperkenalkan selepas tahun 2016 dan juga keperluan kesihatan rakyat.
Dengan ini, kata beliau, taburan dan keperluan anggota kesihatan untuk seluruh negara dapat dipetakan dan diunjurkan dengan jelas sekali gus menjadi evidence-base ke arah penyediaan pelan implimentasi bagi strategi-strategi di dalam Kertas Putih Kesihatan.
“Pelan jangka panjang ini adalah memastikan penduduk mendapat akses kepada perkhidmatan kesihatan yang lebih baik.
“KKM akan terus berbincang dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), bagi memastikan dasar dan perancangan kesihatan yang dirangka adalah bertepatan dengan keperluan rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Zaliha berkata, keputusan JPA menghentikan tajaan dalam bidang perubatan, pergigian dan farmasi merupakan dasar lalu yang dibuat berpandukan dapatan kajian dijalankan KKM.
Katanya, kajian menerusi Supply and Needs-Based Requirement Projections of Malaysian Human Resources for Health Using System Dynamics Approach 2016-2030 itu dikatakan menunjukkan unjuran bekalan pegawai perubatan akan mengalami kebanjiran (oversupply) mulai tahun 2026 hingga 2030.
Bagaimanapun, jelas beliau, kajian ini dibuat berdasarkan data dari tahun 2008 hingga 2015 dan kurang menggambarkan situasi semasa.
“Unjuran tenaga kerja kesihatan boleh ditambah baik dengan mengambil kira perubahan dasar kerajaan yang berlaku selepas 2015, keperluan kesihatan pasca Covid-19, perubahan beban penyakit, perkembangan teknologi perubatan dan keperluan perkhidmatan mengikut bidang kepakaran di sektor awam dan swasta.
“Oleh itu, KKM menyambut baik keputusan Perdana Menteri untuk meneruskan tajaan dalam bidang perubatan, pergigian dan farmasi,” katanya. – UTUSAN