PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) meluluskan peruntukan khas sebanyak RM771,600 bagi pembelian aset perubatan dan bukan perubatan untuk keperluan Hospital Sultan Ismail (HSI) dan Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru.
Menterinya, Dr. Zaliha Mustafa berkata, peruntukan khas itu bagi pembukaan semula dua wad di hospital berkenaan yang sebelum ini ditutup kerana kekurangan aset perubatan serta sumber manusia.
Beliau berkata, antara keperluan disediakan termasuk set katil, Defib With Pacing, Basic Dinamp, Vital Sign 4 Channel, ECG Machine, Portable X-Ray Viewer dan lain-lain.
“Selain itu, waran peruntukan perbelanjaan mengurus sebanyak RM634,916 diturunkan juga kepada Jabatan Kesihatan Negeri Johor bagi perolehan aset bukan perubatan (ABR) untuk memenuhi keperluan mendesak di kedua-dua hospital itu.
“Selain itu, JKN Johor juga akan menerima 35 orang jururawat perjawatan tetap dan perjawatan lain termasuk Penolong Perubatan Kesihatan dan beberapa jawatan kontrak lain sedang menunggu untuk disahkan,” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini.
Katanya, KKM juga akan melaksanakan penyelesaian segera bagi memenuhi keperluan dua buah hospital itu dan perkara itu sedang dalam tindakan KKM dengan kerjasama Agensi Pusat.
Dr. Zaliha berkata, KKM sentiasa komited dalam isu kekurangan petugas kesihatan di fasiliti KKM, malah kemas kini data dan pemetaan turut dilaksanakan bagi mengenal pasti keperluan dan kehendak optimum operasi di mana-mana hospital mahupun klinik kesihatan tersebut.
Menurutnya, KKM berterima kasih atas keperihatinan semua pihak dalam memastikan perkhidmatan kesihatan yang terbaik diberikan kepada rakyat.
“Kertas Putih Kesihatan yang akan dibentangkan di Parlimen esok penting bagi menjamin kesaksamaan dan akses perkhidmatan kesihatan yang lebih mampan serta kalis masa depan,” katanya.
Sebelum ini, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengadakan lawatan mengejut ke HSI dan HSA Johor Bahru baru-baru ini susulan penutupan dua wad dan sepuluh bilik pembedahan berikutan kekurangan aset perubatan serta sumber manusia terutama pegawai perubatan dan jururawat. – UTUSAN