KEMAMAN: Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) akan memperbaiki jalan menghubungkan Kampung Ibok dengan Bandar Seri Bandi di sini yang mengalami kerosakan teruk untuk keselesaan pengguna.
Pengerusi Ketengah, Datuk Seri Dr. Ahmad Said berkata, laluan kira-kira 1.7 kilometer itu telah dibaik pulih beberapa kali sebelum ini dan rosak semula selepas digunakan.
Sehubungan itu, menurutnya, kerja-kerja pembaikan jalan tersebut akan dilakukan dengan lebih teliti bagi mengelak kejadian sama berulang kembali selepas ini.
“Jalan ini telah acap kali dibaiki dan ada sesetengah tempat, terdapat aliran air bawah tanah menyebabkan jalan rosak dan pembaikian jalan sebelum ini juga tidak mengikut spefikasi yang betul, ada sesetengah tempat hanya ditar nipis,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas turun padang meninjau keadaan jalan tersebut, semalam.
Ahmad memberitahu, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah telah menyalurkan peruntukan kepada Ketengah untuk pembaikan jalan tersebut bagi kemudahan penduduk.
“Saya mahu jurutera meneliti segala aspek bagi mengelak kejadian berulang dan mengawasi kerja-kerja yang dilakukan kontraktor yang akan dilantik,” katanya.
Ahmad berkata, kerja-kerja pembaikan jalan itu dijangka mengambil masa sekurang-kurangnya dua bulan dan akan siap sepenuhnya hujung tahun ini selepas pemilihan tender selesai dilakukan.
Terdahulu, sebelum ini media beberapa kali menyiarkan rungutan pengguna yang terpaksa melalui jalan tersebut yang berlubang dan mendap. – UTUSAN