SHAH ALAM: Perikatan Nasional (PN) negeri ini akan menyemak status projek pembangunan Stadium Shah Alam sebagai sebahagian daripada sasaran ketelusan pentadbiran kerajaan negeri dalam manifesto yang akan dibentangkan parti itu pada kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.
Ini kerana, kerajaan negeri didakwa tidak telus dalam menjelaskan kedudukan sebenar projek tersebut termasuk hal berkaitan pertukaran tanah (land swapping) sebagai ganti kepada kos pembinaan Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) yang baharu.
Pengerusi PN Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, perkara tersebut pernah dibangkitkan termasuk persoalan mengenai land swapping yang didakwa melibatkan kawasan hutan paya bakau yang dikhuatiri menyebabkan implikasi buruk kepada alam sekitar.
“Saya pernah bangkitkan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) sebelum ini, saya tanya soalan, ada tanah gantian land swapping di tempat yang melibatkan kawasan paya bakau, mengapa ini berlaku? Saya minta kerajaan negeri berapakah nilai tanah di Shah Alam.
“Kalau land swapping, kerajaan negeri kena kenal pasti apakah nilai tanah di Shah Alam, barulah gantikan dengan nilai tanah sama nilai dengannya. Tetapi kalau tidak ada nilai tanah sebenar, bagaimana kita hendak ganti di tanah lain,” katanya ketika ditemui pemberita pada Konvensyen Pilihan Raya PN Selangor 2023, semalam.
Jelas bekas Menteri Besar Selangor itu, isu Stadium Shah Alam tidak disebut secara spesifik dalam manifesto PN, namun perkara tersebut dikaitkan di bawah tanggungjawab dan ketelusan yang perlu menjadi asas dalam urus tadbir Selangor.
“Mungkin kita tidak sebut secara spesifik, tetapi pertimbangan kita adalah kebertanggungjawaban dan ketelusan mesti menjadi asas dalam urus tadbir Selangor. Soal good governance, stadium, perparitan dan banjir, seolah-olah tidak ada ketelusan dalam pentadbiran kerajaan negeri.
“Itu akan ada dalam manifesto kita, mungkin tidak secara spesifik Stadium Shah Alam, tetapi isu alam sekitar penting bagi Selangor yang pesat pembangunannya. Tetapi, kalau ditimbangkan dengan keperluan alam sekitar, ini akan merosakkan bukan sahaja persekitaran, tetapi ekonomi Selangor.
“Tetapi juga isu hutan yang diterokai, banyak yang sedang dibahaskan, jadi kita akan membangkitkannya sebab kita ada pengalaman di Selangor, kita ada beberapa dasar dan inisiatif yang dapat menangani masalah persekitaran dan hijau ini untuk satu jangka masa yang panjang,” jelasnya. – UTUSAN